BN Johor Bahru serah kepada pucuk pimpinan isu pertukaran kerusi Parlimen

JOHOR BAHRU - Barisan Nasional (BN) Johor Bahru menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan berhubung dakwaan pertukaran kerusi Parlimen Johor Bahru antara BN dan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengerusinya, Datuk Yahya Jaafar berkata, pihaknya setakat ini belum menerima maklumat rasmi mengenai perkara itu namun bersedia akur dengan sebarang ketetapan dibuat kepimpinan.

Menurut beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, BN Johor Bahru tidak berdepan masalah untuk bekerjasama dan menyokong calon Kerajaan Perpaduan jika itu keputusan muktamad.

"Ini perkara baharu bagi saya. Apa yang saya dengar sebelum ini hanya melibatkan Parlimen Pasir Gudang, khususnya selepas Ahli Parlimennya, Hassan Abdul Karim mengumumkan tidak akan bertanding semula.

"Mungkin ia sekadar khabar angin. Namun, apa juga keputusan kepimpinan, BN Johor Bahru akan akur. Jika kekal calon PH, kita tiada masalah untuk bekerjasama dan menyokong calon Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Galeri Jualan Perdana Paragon Globe Berhad (PGB) di sini pada Ahad.

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah serta Pengerusi Eksekutif PGB, Datuk Seri Edwin Tan Pei Seng.

Dalam pada itu, Yahya turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Cabang PKR Johor Bahru yang baharu, Mohamad Taufiq Ismail yang berjaya menewaskan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dalam pemilihan parti minggu lalu.

“Kami ucapkan tahniah kepada Taufiq. Kami percaya kerjasama antara BN dan PH di Johor Bahru akan menjadi lebih baik selepas ini.

"Sewaktu Akmal menerajui PH Johor Bahru, tiada sebarang ‘engagement’ antara kami. Berbeza dengan Taufiq, selepas menang jawatan itu, beliau terus menghubungi saya dan kami bersetuju untuk mengadakan pertemuan minggu depan bagi membincangkan bentuk kerjasama di peringkat Parlimen ini,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Mohamad Taufiq yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor mendedahkan terdapat cadangan pertukaran beberapa kerusi Parlimen antara BN dan PH membabitkan Johor Bahru dan Pasir Gudang pada PRU akan datang.

Beliau bagaimanapun memaklumkan, cadangan pertukaran kerusi Parlimen Johor Bahru antara PH dan BN pada PRU akan datang tidak dipersetujui oleh pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tambahnya, perkara tersebut tidak seharusnya berlaku dan berharap tiada pertukaran kerusi di kawasan berkenaan dalam masa terdekat.