Kemenangan BN di PRK Ayer Kuning bukti rakyat yakin pada Kerajaan Perpaduan

KOTA BHARU - Kemenangan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Sabtu, membuktikan rakyat yakin kepada Kerajaan Perpaduan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, apa sahaja isu yang diperkatakan oleh orang ramai tentang Kerajaan Perpaduan tidak 'menggoyahkan' keyakinan pengundi.

"Pengundi masih yakin untuk mengundi gabungan Kerajaan Perpaduan, sebagai contoh satu PDM (Pusat Daerah Mengundi) Kampung Coldstream di DUN Ayer Kuning yang mempunyai 1,700 pengundi dan hanya empat pengundi Melayu sahaja.

"Sebelum ini lapan pilihan raya kita tidak pernah menang di PDM berkenaan. Namun PRK kali ini, kita menang di PDM berkenaan. Jadi apa yang kita nak cakap, Kerajaan Perpaduan ini adalah kerajaan baharu dan sudah tentu ramai yang ingin tahu bagaimana gerak kerjanya," katanya kepada pemberita pada Majlis Apresiasi Lembaga Kenaf dan Lembakau Negara Tahun 2025 di sini pada Ahad.

Menurut beliau, tiada guna jadi kerajaan jika bertukar Perdana Menteri hingga tiga kali.

Ujarnya, dalam situasi itu bukan rakyat sahaja merasakan tidak stabil malah orang luar juga merasa perkara yang sama.

Sinar Harian melaporkan BN berjaya membuktikan kerusi DUN Ayer Kuning sebagai kubu kuat apabila calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir menang dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan berkenaan pada Sabtu.

Dalam pertembungan tiga penjuru, Mohamad Yusri, 54, yang merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah selaku wakil Kerajaan Perpaduan menang dengan majoriti 5,006 undi.

Bekas guru dan pensyarah kanan berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam Pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya itu memperolehi 11,065 undi.

Pencabarnya, Abd Muhaimin Malek, 44, dari Perikatan Nasional memperolehi 6,059 undi manakala calon Parti Sosialis Malaysia, Bawani KS, 40, yang bertanding kali kedua di kerusi sama meraih 1,106 undi.