Kemenangan PRK Ayer Kuning isyarat rakyat tolak politik perkauman - Khalid Samad

KOTA BHARU - Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning disifatkan sebagai isyarat jelas penolakan rakyat terhadap politik perkauman.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, walaupun peratusan keluar mengundi sekitar 57 peratus, keputusan majoriti lebih 5,000 undi membuktikan kekuatan sokongan rakyat terhadap gabungan Kerajaan Perpaduan berbanding kepada Perikatan Nasional (PN).

“Kami memang mengharapkan mereka keluar mengundi sekitar 65 hingga 70 peratus untuk menunjukkan dengan lebih ketara bahawa politik perkauman yang dimainkan PN ditolak oleh majoriti rakyat.

“Namun dengan peratus keluar mengundi yang rendah pun, kemenangan ini tetap membanggakan dan memberi isyarat bahawa rakyat tidak terpengaruh dengan isu-isu murahan yang ditimbulkan,” katanya ketika ditemui di Majlis Libat Urus dan Ramah Mesra KADA di Lundang di sini pada Ahad.

Khalid berkata, antara isu yang dimainkan PN termasuklah isu pencemaran sungai dan serangan terhadap pentadbiran kerajaan, namun ia tidak mendapat sambutan daripada rakyat.

Beliau turut menegur tindakan sesetengah pimpinan Pas yang dilihat ghairah membawa isu pencemaran sungai di Perak tetapi mengabaikan masalah serupa di negeri mereka sendiri.

“Saya sendiri melalui Sungai Kelantan dan melihat keadaannya yang keruh, namun tidak pula kita lihat mereka turun ke sungai sendiri untuk atasi masalah itu,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan PN yang mengaku sudah berjaya apabila dapat menghalang BN daripada meraih 18,000 undi, Khalid menjelaskan angka itu tidak tepat kerana peratus keluar mengundi kali ini jauh lebih rendah berbanding Pilihan Raya Umum ke-15.

Katanya, faktor ramai pengundi muda yang bekerja di luar kawasan menyebabkan jumlah keluar pengundi rendah, namun dari segi peratusan undi yang diterima, keputusan tetap memadai dan membanggakan.

“Kami juga melihat penurunan sokongan kepada Pas di beberapa pusat daerah mengundi, malah ada kawasan yang undi Parti Sosialis Malaysia mengatasi undi Pas.

“Ini tanda jelas bahawa rakyat mula mempertikai isu-isu yang dibawa Pas,” katanya.

PRK pada Sabtu itu menyaksikan calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi menumpaskan wakil PN, Abdul Muhaimin Malek juga Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah dan Bawani KS daripada PSM.

Mohamad Yusri yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, meraih 11,065 undi, mengatasi Abdul Muhaimin yang memperolehi 6,059 undi, manakala Bawani KS mendapat 1,106 undi.