Ketua Pemuda, Puteri bahagian perlu bergerak promosi TVET

PONTIAN – Ketua Pemuda dan Ketua Puteri UMNO di seluruh bahagian yang telah ditauliahkan sebagai Penggerak TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) perlu memainkan peranan aktif dalam memperkenalkan peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang ini kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pelajar lepasan SPM harus diberikan penerangan menyeluruh mengenai kelebihan mengikuti program TVET, yang kini semakin diperkasakan di bawah pimpinan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Ketua Pemuda dan Ketua Puteri di setiap bahagian perlu turun padang, mengadakan sesi penerangan dan mempromosikan peluang TVET di kawasan masing-masing. Ini penting kerana TVET bukan sahaja mampu menjana pendapatan yang tinggi, malah menyediakan laluan kerjaya yang lebih terjamin untuk anak muda," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Ali Haji Ahmad di sini pada Ahad.

Ahmad Maslan turut memaklumkan bahawa sesi penerangan mengenai TVET Pontian akan diadakan pada 3 Mei ini menerusi program bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang memfokuskan kepada peluang TVET dalam bidang pembinaan.

Dalam pada itu, calon SPM 2024, Muhammad Syafierul Ashwad Mohd Sabri, 18, yang memperoleh keputusan cemerlang 8A menganggap kejayaannya sebagai hadiah istimewa buat ibu Safinah Padek, 45 yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan ayah, Mohd Sabri Salleh, 50 sebagai pekerja kedai perkakasan.

Jelas, anak bongsu daripada dua beradik itu, selain kerap mengulang kaji pelajaran kehadiran ke sekolah dan tidak pernah meninggal solat lima waktu menjadi resipi kejayaannya.