Undi PN tidak merosot - Sanusi

SUNGAI PETANI - Perikatan Nasional (PN) percaya sokongan terhadap gabungan itu tidak merosot pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning biarpun keputusan memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, secara keseluruhannya, sokongan terhadap PN tidak merosot dan hanya menurun kira-kira 800 undi sahaja.

"Dari segi keseluruhannya pengundi PN tak berkurang, tetap kekal kita punya pengundi teras masih di sana.

"Walaupun tak bertambah tapi dengan merosotnya peratusan keluar mengundi 57 peratus saja, undi kita kekal... cuma kurang 800 undi... keputusan yang bagus saya rasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Konvokesyen ke-3 Akademi Darul Ilmi (ADI) di sini pada Ahad.

**media[3102069]**

Hadir sama Exco Pendidikan, Penerangan dan Agama Kedah, Datuk Mohd Azam Abdul Samat dan Pengasas ADI dikenali sebagai Ustaz Mohamad Wadi Anuar Ayub.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, beliau bagaimanapun akan meneliti laporan penuh analisa berhubung keputusan PRK berkenaan.

"Bilik Gerakan baru hantar analisa... saya pun tak sempat baca lagi," katanya.

Semalam, BN mengekalkan kerusi DUN Ayer Kuning selepas calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir, menewaskan calon PN, Abd Muhaimin Malek dan Parti Sosialis Malaysia, Bawani KS, dalam pertarungan tiga penjuru.

PRK diadakan susulan kematian Ishsam Shahruddin dari UMNO, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.

Abd Muhaimin memperoleh 6,059 undi berbanding 6,812 undi yang diperoleh oleh calon PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, Muhammad Noor Farid Zainal.

Dalam PRK berkenaan, Mohamad Yusri menang dengan majoriti 5,006 undi dan keputusan yang diperolehi sebanyak 11,065 undi manakala Bawani KS meraih 1,106 undi.