BN menang 4 PRK isyarat PN kian lemah - Ahmad Maslan

PONTIAN - Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam empat siri pilihan raya kecil (PRK) di Pelangai, Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning didakwa membuktikan pengaruh Perikatan Nasional (PN) semakin lemah.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kemenangan itu menunjukkan BN berjaya menangkis segala hujah dan serangan daripada PN, sekali gus membuktikan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) membuahkan hasil.

"Empat siri PRK ini berturutan dan berbeza negeri, semuanya BN lawan PN. Kesemuanya kemenangan berpihak kepada BN dengan calon ditampilkan daripada UMNO.

"Apabila pengaruh PN pada PRK lemah, kita (BN) jangka mereka akan menjadi lebih agresif. Justeru, kita perlu lebih berhati-hati dalam menghadapi sebarang tindakan mereka selepas ini," katanya.

Ahli Parlimen Pontian itu ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Ali Haji Ahmad di sini pada Ahad.

Sebelum itu, BN berjaya membuktikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sebagai kubu kuat apabila calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir menang dalam PRK kawasan itu pada Sabtu.

Dalam pertembungan tiga penjuru, Mohamad Yusri, 54, yang merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah selaku wakil parti Kerajaan Perpaduan menang dengan majoriti 5,006 undi apabila memperoleh 11,065 undi berbanding PN (6,059 undi) dan Parti Sosialis Malaysia atau PSM (1,106 undi).

Timbalan Menteri Kerja Raya itu menambah, walaupun majoriti undi pada PRK Ayer Kuning meningkat namun masih ada pihak mempersoalkan majoriti tidak melebihi 5,000.

"Majoriti undi 5,006 undi ini naik hampir 100 peratus berbanding pada pilihan raya sebelum ini. Ini isyarat jelas bahawa kerjasama kita dengan PH diterima rakyat.

"Kadar keluar mengundi yang rendah dilaporkan sekitar 58 peratus. Kalau kadar keluar mengundi mencecah 75 peratus, saya yakin majoriti boleh meningkat ke 7,000 atau 8,000 undi.

"Bukan sebab pengundi tidak suka BN, tetapi mungkin kerana ramai baru pulang beraya awal bulan ini," jelas beliau.

Ahmad Maslan menegaskan, empat kemenangan berturut-turut tersebut turut membuktikan BN masih menjadi pilihan rakyat.

"PRK Nenggiri di Kelantan, PRK Pelangai di Pahang, PKR Mahkota di Johor manakala PRK Ayer Kuning di Perak.

"Bukan satu, tetapi empat kejadian berturutan. Ia juga membuktikan BN tetap pilihan rakyat di empat negeri ini termasuk di negeri pembangkang," ujarnya.