SHAH ALAM - Pihak pembangkang didakwa masih tidak muhasabah diri walaupun kalah dalam pilihan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang diadakan pada Sabtu.
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan berkata, selepas mengetahui kekalahan tersebut mereka tidak berjanji untuk mencari punca kekalahan tetapi membuat 'analisa' mengarut yang langsung tidak mengiktiraf realiti bahawa Pas dan Perikatan Nasional (PN) semakin hilang sokongan.
"Di Ayer Kuning, Pas dan PN bersungguh-sungguh tunggang isu ladang babi tetapi ladang babi tidak dapat memenangkan mereka. Malangnya bila sudah kalah, mereka tidak muhasabah diri.
"Ketua Pemuda Pas Selangor kata keputusan di Ayer Kuning merupakan bukti penolakan rakyat terhadap kerajaan. Yang kalah pula kata yang menang ditolak, pelik betul," ujarnya menerusi lama Facebook pada Ahad.
Sebelum ini, Pas menyifatkan PRK Ayer Kuning sebagai satu isyarat jelas penolakan rakyat terhadap kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.
Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas, Mohamed Sukri Omar berkata, walaupun Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi berkenaan, keputusan yang dicapai mencerminkan beberapa hakikat penting yang perlu diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan.
Katanya, keyakinan Menteri Besar Perak bahawa akan berlaku gelombang besar pemindahan undi sehingga majoriti 18,000 undi ternyata meleset apabila PN kekal memperoleh sokongan teras sekitar 5,000 hingga 6,000 undi.
Sementara itu, Syahredzan turut memerli Mohamed Sukri berhubung dakwaan cuba mempengaruhi perjalanan Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) Singapura.
"Sukri Omar inilah yang menurut pihak berkuasa Singapura, cuba mempengaruhi pilihan raya Singapura.
"Lain kali, fokus pada pengundi rakyat kita. Jangan sibuk dengan pilihan raya negara asing.
"PN dan Pas harus 'do better', bak kata Inggeris. Hentikanlah main politik perpecahan dan perkauman, fokus pada politik matang dan sejahtera, supaya politik kita jadi lebih baik," ulasnya.