TANJONG KARANG - Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi mengakui menerima pelbagai pelawaan daripada parti dalam Kerajaan Perpaduan, namun menegaskan belum membuat sebarang keputusan muktamad.
Beliau berkata, perbincangan sedang berjalan dan keputusan hanya akan dibuat apabila tiba masanya, dengan mengambil kira keperluan untuk mengelakkan pelanggaran Akta Anti Lompat Parti.
"Kita saling memahami keadaan semasa dan apa yang penting saya tetap menyokong Kerajaan Madani dan terus bekerja selaras dengan kehendak kerajaan," katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri dan Jamuan Kasih Rakyat Parlimen Tanjong Karang di Pusat Penjaja Pekan Tanjong Karang di sini pada Sabtu malam.
Mengulas khabar angin kononnya beliau akan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah), Dr Zulkafperi berkata, pintu rundingan masih terbuka, termasuk dengan UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
"Saya leave it open (bersikap terbuka) kerana belum memilih ke mana-mana, namun kita menjalin hubungan baik dengan semua parti komponen dalam Kerajaan Madani," ujarnya.
Mengulas lanjut, Dr Zulkafperi berkata, beliau mengulangi pendiriannya dan bersedia mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tanpa mengira tiket mana-mana parti.
"Saya adalah calon terbaik untuk memenangi kerusi ini sama ada bertanding atas tiket UMNO, PKR atau Amanah, insya-ALLAH saya mampu membawa kemenangan," katanya.
Beliau turut menepis dakwaan sesetengah pihak yang memainkan sentimen kononnya masih dianggap 'calon luar' di Tanjong Karang.
"Tidak timbul lagi soal calon luar kerana itu isu lama masa PRU14 dan pada masa ini rakyat di Tanjong Karang sama ada di kampung, bandar atau perumahan, boleh menerima saya," katanya.
Dr Zulkafperi juga optimis dapat meraih sokongan di kedua-dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimennya iaitu Permatang dan Sungai Burong yang kini dimenangi Perikatan Nasional (PN).
"Saya yakin faktor Parlimen akan mempengaruhi DUN. Insya-ALLAH, kita akan pastikan kedua-dua DUN ini bersama kita pada masa akan datang," katanya.
Tambahnya, sokongan rakyat terhadap beliau sebagai wakil rakyat bebas juga amat menggalakkan, termasuk daripada semua kaum.
"Rakyat berterima kasih kerana saya terus menyokong Kerajaan Madani demi kepentingan mereka, selain berfungsi untuk rakyat dan membantu mana yang perlu," katanya.
Sebelum ini, enam bekas Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai wakil rakyat.
Selain Dr Zulkafperi, lima yang lain adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).