JOHOR BAHRU – Cadangan pertukaran kerusi Parlimen Johor Bahru antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang tidak dipersetujui oleh pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ketua Cabang PKR Johor Bahru, Mohamad Taufiq Ismail berkata, perkara tersebut tidak seharusnya berlaku dan berharap tiada pertukaran kerusi di kawasan berkenaan dalam masa terdekat.
Malah, Mohamad Taufiq yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor menegaskan bahawa akar umbi PKR telah bekerja keras untuk menewaskan penyandang sebelum ini, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.
"Memang ada kedengaran cadangan pertukaran beberapa kerusi Parlimen termasuk Johor Bahru dan Pasir Gudang, tapi kami tidak setuju.
"Sebagai Ketua Cabang baharu, saya tegaskan kami tidak bersetuju kerana bukan mudah untuk kami memperoleh kemenangan ini. Adalah penting untuk PH terus memegang kerusi ini bagi mengukuhkan akar umbi parti di selatan tanah air," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pasir Gudang di Taman Kota Puteri, di sini pada Sabtu.
Turut hadir Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Naib Ketua AMK Johor, Muhammad Faezuddin Puad.
Sementara itu, Mohamad Taufiq memaklumkan, PKR Johor kini memegang tujuh daripada keseluruhan 15 kerusi Parlimen yang dimenangi PH di negeri ini.
Katanya, perkembangan itu menambahkan keyakinan bahawa sokongan rakyat terhadap gabungan PH akan terus kukuh di Johor.
"Di peringkat Johor Bahru, kami mempunyai kerjasama erat dengan BN, khususnya UMNO. Namun hubungan erat itu tidak bermakna kita akan memberi laluan untuk pertukaran kerusi.
"Sebaliknya, biarlah kerjasama itu diteruskan melalui kaedah lain kerana pada masa sama, saya mahu menambahkan bilangan ahli dan meningkatkan jumlah ranting PKR sehingga menyamai jumlah cawangan UMNO," ujarnya.