Tidak masuk akal campur tangan pilihan raya Singapura - Iskandar

SHAH ALAM - Bendahari Agung Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad menafikan dakwaan cuba mempengaruhi keputusan pilihan raya umum (GE2025) Singapura yang bakal berlangsung pada 3 Mei depan.

Ujar Iskandar, beliau tidak pernah menggesa pengundi untuk mengundi berdasarkan kaum atau agama.

“Saya ada menyatakan harapan agar beberapa calon Muslim tersebut berjaya, tetapi tidak mengenali mereka secara peribadi dan tidak pernah bertemu dengan mereka.

“Tidak masuk akal untuk menuduh saya campur tangan dalam proses pilihan raya di negara itu. Saya juga pernah memberi ulasan mengenai politik di negara lain tanpa sebarang kesan atau tindakan,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Pilihan Raya Singapura dalam kenyataan pada Jumaat berkata, mengenal pasti tiga warga asing termasuk dua pemimpin Pas yang didakwa cuba mempengaruhi GE2025 negara itu.

Menurut kenyataan berkenaan, selain Iskandar, antara individu yang terlibat ialah Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar dan seorang warga Australia, Zulfikar Mohamad Shariff yang melepaskan kewarganegaraan Singapura pada 2020.

Kata Iskandar, hantaran yang dibuat menerusi Facebook miliknya bertujuan melaporkan beberapa calon Muslim daripada parti pembangkang dan calon muda Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang menyertai PRU berkenaan.

Ulasnya, meskipun terdapat hantaran yang ditulis dalam bahasa Inggeris namun, ia sebenarnya ditujukan kepada rakyat Malaysia di negara ini.

“Sebagai seorang ahli politik, saya tidak boleh disalahkan kerana mempunyai minat terhadap perkembangan politik di negara lain selain Malaysia.

“Saya tidak percaya bahawa halaman Facebook saya berpengaruh walaupun di Malaysia dan amat terkejut apabila ia disekat dan tidak boleh diakses di republik tersebut,” ujarnya.