Pemuda Pas Selangor nafi cuba pengaruhi pilihan raya Singapura

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor menafikan dakwaan cuba mempengaruhi perjalanan Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) Singapura sebaliknya sebagai tanggungjawab moral seorang Muslim dan prihatin terhadap nasib masyarakat Melayu-Islam di negara itu.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, beliau menghormati sepenuhnya kedaulatan dan undang-undang negara Singapura tanpa sebarang niat untuk mengganggu proses demokrasi di negara tersebut.

Menurutnya, nasib masyarakat Melayu-Islam di Singapura semakin terhimpit dalam pelbagai sudut sama ada dari segi pendidikan, ekonomi atau kebebasan berbudaya.

"Hak membela keadilan, maruah dan masa depan sesuatu bangsa bukanlah satu bentuk 'campur tangan asing' apabila ia dilakukan dengan adab, prinsip dan cinta kepada kemanusiaan tanpa paksaan atau hasutan kepada mana-mana parti politik di luar negara.

"Saya ingin menegaskan bahawa orang Melayu Singapura berhak mendapat ruang yang adil dan saksama dalam semua bidang kehidupan sebagai warganegara penuh.

"Mengangkat suara terhadap ketidakadilan bukan satu jenayah, tetapi satu tuntutan akhlak dan agama. Selain itu membela identiti Melayu-Islam bukan bermaksud mengancam keamanan, tetapi meneguhkan keadilan sosial yang sebenar," katanya menerusi lama Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini, berdasarkan laporan Berita Harian Singapura, Bendahari Agung, Pas, Iskandar Abdul Samad dan Mohamed Sukri didapati mengeluarkan hantaran di Facebook yang menyiarkan komen mereka terhadap politik Singapura.

Kenyataan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada 25 April berkata adalah menjadi satu kesalahan bagi warga asing mempengaruhi GE Singapura.

Tambah Mohamed Sukri, beliau berpegang teguh kepada prinsip bahawa segala perubahan mesti berlaku melalui jalan yang aman, menghormati undang-undang dan mengangkat martabat semua pihak.

"Saya mengajak seluruh masyarakat Melayu Singapura untuk terus berjuang secara berhemah dan bijaksana.

"Memperkukuhkan pendidikan, memperkasakan ekonomi, memperteguhkan budaya dan menyumbang secara aktif kepada pembangunan negara mereka sendiri.

"Akhir sekali, saya memohon agar semua pihak melihat seruan ini dalam kerangka kasih sayang kepada bangsa dan kemanusiaan bukan dengan lensa syak wasangka politik yang sempit," jelasnya.