Pemilihan PKR: Nik Nazmi hantar surat bantahan kepada JPP

HULU SELANGOR - Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan telah menghantar surat bantahan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berhubung keputusan pemilihan Ketua Cabang Setiawangsa.

"Saya dah hantar surat (kepada JPP) dan kita akan tunggu jawapan daripada mereka. Hari ini pun ada mesyuarat MPP (Majlis Pimpinan Pusat), jadi kita tunggu sahaja apa keputusan yang akan mereka umumkan,” katanya.

Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Tapir Sedunia 2025 di Pusat Konservasi Hidupan Liar di Sungai Dusun, Kuala Kubu Baharu, di sini pada Sabtu.

Pada pemilihan 19 April lepas, Ahli Parlimen Setiawangsa itu gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa selepas tewas kepada pelakon dan pengarah filem terkenal Datuk Afdlin Shauki dengan meraih 563 undi manakala Afdlin memperoleh 631 undi.

Semalam, Pengerusi JPP Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata status bantahan melibatkan pemilihan beberapa cabang PKR pada Pemilihan PKR 2025 akan diumum minggu depan. - Bernama