TAPAH - Pusat Pengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Toh Tandewa Sakti, Tapah menjadi pusat mengundi pertama ditutup bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pusat mengundi yang hanya mempunyai satu saluran itu ditutup tepat jam 4 petang.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian sekitar jam 3.45 petang itu mendapati pusat mengundi tersebut lengang.
Biarpun hampir ditutup, ia tidak menghalang tiga orang pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada saat akhir.
Salah seorang daripada mereka, Poon Tuck Chee, 49, memberitahu kelewatan untuk datang mengundi disebabkan urusan keluarga.
"Saya bertolak dari Ipoh tadi pukul 3.05 petang sebab uruskan hal anak-anak.
"Jalan pun tak sesak dan kami sampai sebelum pintu pagar ditutup. Saya rasa lega bila dah mengundi," katanya ditemani isteri, Lim Yoke Yin, 49, ketika ditemui pemberita di luar pekarangan sekolah berkenaan.
Dibuka pada jam 8 pagi, Pusat Mengundi SK Toh Tandewa Sakti mempunyai seramai 378 pengundi berdaftar dan menjadi salah satu daripada 19 pusat mengundi yang dibuka.