TAPAH - Demi tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia, seorang bapa sanggup meredah perjalanan lebih 400 kilometer (km) untuk membawa anaknya pulang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Sabtu.
Mhd Roslan Ghazali, 52, dari Kampung Sungai Lesong berkata, anaknya, Ahmad Saufi, 19, menuntut di Institut Kemahiran Mara (IKM) Sungai Petani, Kedah merupakan pengundi kali pertama.
"Saya nak pastikan anak saya mengundi. Biarlah jauh pun tak mengapa. Saya sanggup ambil dan hantar dia pulang asalkan dia tidak terlepas tanggungjawab sebagai pengundi," katanya ketika ditemui pemberita.
Bapa kepada lima anak itu mengakui akan bertegas setiap kali pilihan raya berlangsung dan sejak dahulu telah mendidik anak-anaknya mengenai kepentingan hak mengundi.
"Dah tujuh kali pilihan raya, saya tak pernah lagi tertinggal untuk mengundi.
"PRK kali ini istimewa sebab anak kedua saya dah boleh mengundi. Jadi saya dan isteri bersama anak pertama dan kedua... kami datang awal mengundi," katanya yang tiba di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lesong sejak jam 7.30 pagi.
Sementara itu, Ahmad Saufi mengakui gemuruh untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih kali pertama pada PRK Ayer Kuning.
"Semasa pilihan raya umum lalu saya masih berusia 17 tahun, jadi belum layak lagi mengundi.
"Ayah ada pesan untuk saya buat pilihan bijak, dia tidak pengaruhi saya untuk mengundi calon yang mana," katanya.
PRK Ayer Kuning menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Melak dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Mengikut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 31,281 orang pemilih berdaftar yang layak membuang undi di 19 pusat mengundi ditetapkan.
Pada Selasa lepas, sebanyak 93.4 peratus daripada 500 anggota polis dan pasangan telah menunaikan tanggungjawab di dua pusat mengundi semasa proses pengundian awal PRK berkenaan, sementara SPR mengeluarkan 116 kertas undi pos kepada mereka yang berhak mengundi secara pos.