BIDOR - Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning masih rendah setakat jam 11 pagi iaitu 26.36 peratus.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya bagaimanapun tetap optimis bahawa peratusan keluar mengundi mampu mencapai sasaran awal iaitu 70 peratus.
“Ia berdasarkan kepada trend pengundian di beberapa siri PRK sebelum ini.
“Alhamdulillah sehingga jam 11 pagi tadi, jumlah peratusan keluar mengundi adalah 26.36 peratus. Kita lihat ia agak rendah.
“Jadi, saya meminta semua pengundi berdaftar di Ayer Kuning untuk keluar mengundi lebih awal kerana dibimbangi cuaca tidak mengizinkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bidor di sini pada Sabtu.
PRK Ayer Kuning diadakan susulan kekosongan luar jangka apabila penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Allahyarham Ishsam yang mewakili BN menang dalam pertandingan lima penjuru dengan majoriti 2,213 undi.
PRK Ayer Kuning melibatkan seramai 31,281 pengundi berdaftar menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Sementara itu, Ramlan memaklumkan, pihaknya menerima sebanyak 36 laporan berhubung kesalahan pilihan raya terutamanya melibatkan bahan kempen.
“Daripada jumlah tersebut, lima adalah laporan yang sudah dikemukakan kepada pihak polis dan diambil tindakan,” ujarnya.