PN yakin rampas Ayer Kuning jika peratusan pengundi Melayu tinggi – Muhyiddin

MUAR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin optimis peluang parti itu merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning cerah sekiranya peratusan keluar mengundi khususnya pengundi Melayu meningkat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung pada Sabtu.

Menurut beliau, kerusi terbabit berstatus marginal dan peningkatan jumlah pengundi Melayu boleh memberikan kelebihan kepada PN.

"Peratusan keluar mengundi ramai mencerahkan harapan PN, sebagaimana yang pernah saya sebutkan dalam video sebelum ini.

"Ini kerana saya katakan tanggungjawab harus ditunaikan setiap pengundi tanpa mengambil kira kaum. Dalam PRK ini, ada kalangan pengundi Melayu lebih 50 peratus.

"Jadi, marginal kerusi seperti ini kalau peratusan meningkat (membabitkan pengundi Melayu), kita ada harapan (untuk menang)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Parlimen Pagoh di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Azmin Ali dan Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Muhyiddin turut berkata, sepanjang kempen PRK Ayer Kuning, PN membawa isu berkaitan kos sara hidup, kenaikan harga barang serta kelemahan pentadbiran kerajaan Pusat dan negeri Perak.

Katanya, pengundi di Ayer Kuning perlu menunjukkan bantahan dengan tidak mengundi lagi Barisan Nasional (BN) kerana parti itu bukan seperti dahulu.