BIDOR - Berstatus orang kurang upaya (OKU) autisme bukan halangan buat tiga beradik menunaikan tanggungjawab mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Ibu tunggal, Suzana Ilias, 53, berkata, dia sekeluarga tiba di pusat daerah mengundi (PDM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bidor sekitar jam 10.30 pagi untuk mengundi meskipun anak-anak sempat meragam.
Menurutnya, Muhammad Khir, 29; Nur Fatimah, 28 dan Nurul Asyikin Khairul Nizam, 25, pernah mengundi sebelum ini hasil tunjuk ajar arwah bapa.
“Ini kali kedua mereka mengundi. Sekarang saya yang uruskan anak-anak sebab suami dah meninggal dunia. Saya mengundi di SMK Bidor dan anak-anak pula di PDM lain.
“Tak boleh tinggal mereka, kena bawa ke mana-mana. Jadi, saya mengundi dahulu di sini.
“Kalau nak urus memang tiada masalah cuma kadang-kadang mereka senang mengamuk, susah juga," katanya.
Suzana berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Suri rumah itu memaklumkan, meskipun anak-anaknya tergolong dalam kategori istimewa, mereka tetap mempunyai hak untuk memilih wakil rakyat baharu.
“Kalau orang luar berkomunikasi, mereka boleh faham. Saya pun ada ajar sikit-sikit tentang proses mengundi, selebihnya terpulang kepada mereka untuk buat pilihan sendiri.
“Apapun, saya bersyukur pagi ini semuanya berjalan lancar. Mereka beri kerjasama dengan baik cuma tantrum sedikit, biasalah,” katanya yang menetap di Rumah Awam Tiga, dekat sini.
PRK Ayer Kuning diadakan susulan kekosongan luar jangka apabila penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Allahyarham Ishsam yang mewakili BN menang dalam pertandingan lima penjuru dengan majoriti 2,213 undi.
PRK DUN Ayer Kuning melibatkan seramai 31,281 pengundi berdaftar menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).