'Kumpulan ketiga' muncul dalam PKR

SHAH ALAM - Kekalahan nama besar dan berjawatan dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) peringkat cabang menyerlahkan lagi kemunculan kumpulan ketiga dalam parti itu yang tidak berpaksikan kepada mana-mana pemimpin.

Bekas Setiausaha Koordinasi Penerangan PKR, Iswardy Morni berkata, sebelum ini terdapat dua kumpulan yang disebut-sebut wujud dalam parti berkenaan iaitu pro Datuk Seri Rafizi Ramli dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Bagaimanapun, katanya, keputusan pemilihan kali ini mengejutkan ramai pihak susulan terdapat calon yang didakwa mewakili kedua-dua kem berkenaan turut kalah di tangan individu yang tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana pemimpin.

“Kekalahan demi kekalahan bukan sahaja dalam kalangan kem Rafizi tetapi turut melibatkan pemimpin yang dikaitkan sebagai orang Saifuddin Nasution. Jadi, kalau hendak kata berlaku teori seperti ganggu sistem oleh kumpulan yang disebut, itu tidak benar.

“Nama-nama yang menang ke atas calon besar dan mempunyai jawatan ini sebenarnya tidak dikenali pun dalam kalangan orang luar tetapi dalam parti mungkin dikenali.

“Mungkin ada yang akan bertanya, di sebalik kumpulan orang ketiga ini, siapa ‘kepala’ dia (pemimpin di belakang). Saya percaya tidak ada dan mereka ini tidak dipunyai oleh kedua-dua kumpulan tersebut tetapi mewakili suara akar umbi,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mengenai kemungkinan wujud agenda tertentu yang ingin dibawa oleh kumpulan ketiga tersebut, Iswardy berkata, penolakan terhadap nama besar itu jelas memperlihatkan keinginan sebenar akar umbi.

“Agenda kumpulan ini hendak memastikan pilihan raya akan datang PKR menjadi lebih kuat, ada akar umbi yang kukuh. Jadi, situasi ini juga memberi isyarat kepada semua pihak untuk laksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya,” katanya.

Tambah beliau, kumpulan ketiga itu diyakini akan terus membawa agenda sebenar suara akar umbi yang mungkin tidak diberikan perhatian oleh pemimpin tertentu.