TAPAH - Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang diwakili Barisan Nasional (BN) tidak pernah tewas dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini termasuk sewaktu negara dilanda gelombang tsunami politik pada 2008.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, kedudukan itu menjadi tanggungjawab besar kepada calon dan parti untuk mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.
"Kawasan DUN Ayer Kuning ini tidak pernah kalah. Dalam suasana politik paling mencabar sekalipun kita tetap menang, malah negeri Perak juga berjaya kita tawan akhirnya.
"Cuma pada pilihan raya lepas, UMNO Perak tidak dapat bertahan, kebanyakan wakil rakyat kita ramai kecundang. Hanya sembilan kawasan menang termasuklah Ayer Kuning," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam program 'Jom belajar' Pelajar Sekolah DUN Ayer Kuning - Tabung Pendidikan Melayu di PDM Tanjung Keramat di sini pada Isnin.
Hadir sama, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan calon BN PRK DUN Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir.
Wakil rakyat selama empat penggal bermula 2004 hingga 2018 itu berkata, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), DUN Ayer Kuning hampir berdepan kekalahan apabila BN kalah di beberapa PDM termasuk Tanjung Keramat.
**media[3094689]**
Katanya, itu antara isyarat penting bahawa seluruh jentera parti perlu menjaga semangat perpaduan demi mempertahankan kerusi yang menjadi nadi BN sekian lama.
"Saya harap kemenangan BN dipertahankan dan lebih besar kali ini. Ayer Kuning mesti jadi contoh kepada seluruh negara bahawa kubu kuat BN tetap kukuh," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April, manakala pengundian awal pada 22 April.
Ia melibatkan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir; calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia, (PSM) Bawani KS.