Keputusan pemilihan PKR isyarat jelas suara akar umbi

JOHOR BAHRU - Keputusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berlangsung baru-baru ini dianggap sebagai mesej jelas daripada akar umbi yang mahukan perubahan kepimpinan di peringkat cabang dan Parlimen, khususnya di Johor.

Ketua Pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Mohamad Taufiq Ismail berkata, pemerhatian terhadap 26 cabang di negeri itu menunjukkan corak sokongan berubah ketara, termasuk terhadap penyandang kerusi Parlimen yang bertanding.

“Sebagai contoh, kita ada tujuh ahli Parlimen PKR di Johor. Bagaimanapun, tidak semuanya menerima mandat besar dalam pemilihan ini.

"Perkara tersebut secara tidak langsung menunjukkan ahli kini lebih bijak menilai dan membuat keputusan berdasarkan kepada prestasi yang ditunjukkan,” katanya ketika mengulas keputusan pemilihan parti pada Ahad yang menyaksikan beberapa nama besar dan berjawatan dalam kerajaan termasuk menteri dan timbalan menteri tewas.

Tambah Mohamad Taufiq, keputusan pemilihan berkenaan juga jelas menggambarkan kelemahan di peringkat pengurusan cabang hingga menyebabkan akar umbi beralih arah.

Malah katanya, sejak tiga tahun kebelakangan ini terlalu banyak kelompangan yang ditinggalkan oleh pimpinan dan apabila skrip yang sama berulang, ahli tidak lagi mudah terpengaruh kerana mereka mahukan perubahan.

Sementara itu, Mohamad Taufiq turut bersetuju dengan pandangan bahawa ahli Parlimen yang turut memegang jawatan menteri atau timbalan menteri perlu lebih fokus kepada tugas kementerian dan membiarkan pengurusan parti digalas oleh pimpinan akar umbi.

“Kita perlu fokus. Kalau seseorang itu pegang dua jawatan utama, menteri dan ketua parti, memang sukarlah nak bergerak.

"Jadi, eloklah jawatan-jawatan ini diagihkan kepada mereka yang benar-benar boleh berikan tumpuan,” katanya.