SHAH ALAM - Bekas Setiausaha Koordinasi Penerangan PKR, Iswardy Morni berkata, semua pihak harus melihat kekalahan nama-nama besar dan berjawatan dalam pemilihan kali ini sebagai wake-up call kepada pemimpin sama ada yang sedang memegang jawatan dalam kerajaan negeri dan pusat ketika ini atau akan datang, untuk melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya.
Ini kerana katanya, berbeza dengan parti-parti lain, PKR adalah berteraskan akar umbi dan kedudukan pemimpin ditentukan oleh kumpulan berkenaan, bukan perwakilan atau cawangan.
“PKR adalah parti ahli. Bukan berasaskan siapa pemimpin besar di peringkat pusat, jamin kedudukan di peringkat cabang. Segala kerja yang kamu lakukan ahli parti akan tengok dan perhati.
“Kalau kamu tidak tunaikan tanggungjawab seperti diharapkan, pemilihan akan datang kamu akan diturunkan dan akan digantikan dengan orang lain seperti yang berlaku hari ini. Inilah demokrasi yang sebenar.
“Keputusan kali ini membuktikan bahawa keputusan akhir kepada penentuan kepimpinan itu adalah daripada ahli. Malah, kalau kita tengok lawan yang menang ke atas nama-nama besar dan berjawatan ini tidak dikenali pun oleh orang luar tetapi mereka popular dalam kalangan akar umbi dan sebab itulah mereka boleh menang,” katanya.
Menyentuh isu keputusan kali ini dianggap aneh susulan terdapat ketua cabang kalah tetapi regu jawatankuasa menang, Iswardy berkata, perkara tersebut bukan pelik tetapi unik selari dengan dasar PKR iaitu parti rakyat dan akar umbi.
“Saya tahu ramai kata pelik (keputusan bagi cabang tertentu). Dakwaan ini hanya datang daripada mereka yang kalah, kalau mereka menang tidak pelik. Di sini kita perlu faham bahawa pengundian dilakukan secara dalam talian. Adakah kita yakin semua yang dikatakan menyokong kita akan undi pada hari pemilihan itu?
“Dakwaan-dakwaan sebegini tidak boleh dijadikan bukti sekiranya ada pihak yang ingin membantah keputusan, sebaliknya mereka perlu ada bukti yang kukuh untuk menyokong dakwaan tersebut,” katanya.