TAPAH - Menggalas cabaran Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, tersimpan kisah seorang pendidik yang pernah menjadi tulang belakang kepada sebuah sekolah di sini, tiga dekad lalu.
Dr Mohamad Yusri Bakir, calon BN yang kini giat berkempen diingati sebagai seorang guru berdedikasi, mesra dan mudah didekati.
"Walaupun pada zahirnya dia dilihat sedikit kerek (serius), tetapi itu muka saja.
"Dia memang orang yang baik, ramah dan mudah mesra," kata salah seorang bekas rakan sekerjanya, Mohd Nor Bahari Baharudin, 58, ketika ditemui dalam Program Jualan Rahmah Madani di Tapah Road di sini pada Sabtu.
Mohd Nor yang pernah mengajar bersama di Sekolah Kebangsaan (SK) Toh Tandewa Sakti dekat Tapah sekitar tahun 90-an berkata, Mohamad Yusri sangat dikenali dalam kalangan guru seorang yang memiliki daya ingatan luar biasa.
"Tanya saja nama anak, nombor kereta, latar belakang keluarga kawan-kawan, semua dia boleh ingat. Itu kelebihan dia," katanya.
Pesara guru itu memaklumkan, Mohamad Yusri yang dikenali sebagai ustaz bukan hanya kerana beliau mengajar Pendidikan Islam, tetapi latar belakang keluarganya yang kuat pegangan agama.
Begitupun, katanya ada kisah lucu berlaku ketika mereka sama-sama melalui zaman bujang apabila terlewat sampai ke masjid untuk solat Jumaat.
“Pernah kami sampai-sampai, imam dah rakaat kedua. Tetapi itu kenangan zaman muda. Waktu lapang kami memang suka berlonggok bersembang.
"Sampai sekarang pun kami rapat dan kekal berhubung antara satu sama lain menerusi kumpulan WhatsApp.
"Setiap kali raya, kami akan cari rumah untuk berkumpul dan Ustaz Yusri tetap hadir bila boleh, tak pernah lupakan kawan-kawannya," katanya.
Mengulas pemilihan Mohamad Yusri sebagai calon BN untuk PRK Ayer Kuning, beliau menyatakan rasa bangga dan yakin rakan lamanya itu mampu memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
"Satu bangga, satu yakin. Bila diumumkan, memang kami tak terkejut. Sebab dari dulu kami nampak dia ada ciri pemimpin. Dia layak," katanya.
Bekas guru dan pensyarah berusia 54 tahun itu menjadi sandaran BN untuk mengekalkan kerusi di DUN Ayer Kuning.
PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 59, daripada BN pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung.
Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri bersama calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).