TAPAH - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui menghantar sepucuk surat kepada Pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bagi permohonan mengubah susun atur tempat duduk blok pembangkang.
Beliau berkata, ia prosedur biasa dan pernah berlaku misalnya ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman sebelum ini, pihaknya mengutus surat kepada Speaker Dewan Rakyat untuk meletakkan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar lebih kanan daripada Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Jelas Ahmad Faizal atau Peja, memandangkan ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin meletak jawatan sebagai Setiausaha Bersatu Perak diganti dengan ADUN Changkat Jong, Nadziruddin Mohamed Bandi, perubahan tempat duduk mesti dibuat atas dasar hierarki.
Bagaimanapun, menurut naib presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tersebut, pihaknya menerima maklum balas bahawa permohonan itu ditolak atas alasan senioriti atau pengalaman ahli.
“Saya pun hairan macam mana media boleh tahu pasal ini sedangkan saya hantar surat kepada Pejabat Speaker DUN Perak secara peribadi.
“Surat itu dimaklumkan kepada orang lain maknanya ada berlaku ketirisan dan ketidakjujuran dalam mengawal surat menyurat.
“Pelik macam mana Pejabat Speaker DUN Perak boleh menyebut tentang senioriti atau pengalaman ADUN bagi pihak kami. Ganjil, tapi tak apa kami terima baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas ceramah mega PN di Halaman Pasti Asy-Syakirin Kampung Tanjung Keramat, di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, PN menghantar surat mengejut ke Pejabat Speaker DUN Perak bagi menukar tempat duduk dua ADUN daripada Bersatu.
Perkara tersebut disahkan Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid yang memaklumkan bahawa surat ditandatangani Peja diterimanya pada 16 April lalu ketika Persidangan DUN Perak berlangsung.
Mohammad Zahir memaklumkan, sudah menjadi kebiasaan bahawa kedudukan ADUN dalam DUN mengambil kira senioriti atau merit tertentu seperti tempoh berkhidmat, pengalaman sebagai Exco kerajaan negeri dan kedudukan dalam parti.
Menurut beliau, jika perubahan tersebut dipertimbangkan, ia akan berlaku dalam persidangan DUN Perak tempoh ini yang akan bersambung pada Isnin depan.
Zainol Fadzi yang merupakan Ketua Whip Pembangkang sebelum ini duduk bersebelahan dengan Timbalan Pengerusi PN Perak, Razman Zakaria dan ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin.
Kedudukan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu ditentukan berdasarkan kedudukan paling kanan selepas Ketua Pembangkang kerana telah berkhidmat sebagai ADUN selama empat penggal dari 2008 sehingga kini.
Ketua Bersatu Bahagian Pasir Salak terbabit juga pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri Perak selama tiga penggal sehingga 2022.
Sementara itu, Nadziruddin yang pertama kali menjadi ADUN selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) buat masa ini diletakkan sebaris dengan ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri.
Beliau juga dilantik sebagai Setiausaha Bersatu Perak baru-baru ini bagi menggantikan Zainol Fadzi yang meletakkan jawatan berkenaan.