PRK Ayer Kuning: Jentera PH Johor sedia turun padang bantu calon BN

BATU PAHAT - Jentera Pakatan Harapan (PH) Johor sudah bersedia membantu kempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, mereka mahu mengulangi kejayaan besar di kerusi DUN Mahkota pada September tahun lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) memberitahu, PH Johor akan menghantar jentera secara berperingkat dalam tempoh singkat memandangkan berlaku banjir di beberapa kawasan di negeri

"Gerak kerja dilakukan seperti di DUN Mahkota, kita akan bantu secara berperingkat. Jentera akan tiba untuk suatu tempoh.

"Kerajaan kita atas nama perpaduan, jadi kita kena bantu calon BN yang menjadi sebahagian daripada kita," katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading di sini pada Ahad.

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) dilaporkan menukar tarikh pengumuman calon PRK Ayer Kuning kepada 7 April kerana Sambutan Aidilfitri Madani 2025 di Melaka pada 5 April.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Ayer Kuning pada 26 April ini, dengan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.

PRK Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah menang dengan majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.