KOTA BHARU - Pas Kelantan membelanjakan duit sendiri bagi menghantar jentera untuk membantu kerja-kerja kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak pada 26 April nanti.
Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, kesemua mereka telah digerakkan ke lokasi sejak 4 April lalu.
"Kita hantar lebih 60 petugas yang diambil dari Pas kawasan masing-masing di negeri ini untuk menggerakkan kempen-kempen bagi membantu misi merampas semula kerusi tersebut dari BN (Barisan Nasional)," katanya semasa sidang akhbar Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Bilik Mesyuarat Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Ahad.
Menurut beliau, pada PRK itu nanti Pas Kelantan diberi tanggungjawab untuk menggerakkan kempen dan kerja-kerja pilihan raya di empat buah Unit Daerah Mengundi (UDM).
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Ayer Kuning pada 26 April depan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April depan.