Faezuddin tawar diri bertanding calon Ketua PKR, AMK Cabang Pulai

JOHOR BAHRU - Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad, menawarkan diri bertanding sebagai calon Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pulai dan calon Ketua AMK Cabang Pulai dalam pemilihan PKR 2025-2028.

Menurutnya, hasrat untuk bertanding itu adalah bagi meneruskan perjuangan parti berkenaan.

"Perjuangan untuk mengangkat agenda reformasi masih jauh dan penuh cabaran serta perlu dilakukan secara berterusan.

"Kemenangan dalam pilihan raya yang lalu dan kejayaan memimpin sebuah kerajaan bukanlah noktah akhir perjuangan kita. Sebaliknya, ia adalah permulaan untuk memastikan prinsip dan idealisme parti terus dipertahankan," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, untuk mengisi kemenangan dengan memperkukuh perjuangan, diperlukan satu pasukan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk Melayu, Cina dan India.

Jelasnya, usaha ini bertujuan memastikan cabang parti terus kuat dan berdaya saing dalam mendepani cabaran semasa.

"Kepelbagaian ini adalah kekuatan utama kita. Begitu juga dengan kesetiaan kepada prinsip perjuangan, disiplin dalam organisasi, dan keutuhan perpaduan parti adalah tunjang kepada kejayaan kita dalam mengangkat suara rakyat.

"Semua itu merupakan amanat penting Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang perlu dipatuhi dan sentiasa disemat dalam hati," ujarnya.

Justeru, beliau memohon doa dan dukungan daripada rakan seperjuangan serta seluruh anggota parti di Cabang Pulai untuk bertanding.

"Bersama kita perkukuh parti, kita teruskan perjuangan," katanya.