Angkatan Muda Harapan Perak umum jawatankuasa baharu

IPOH - Angkatan Muda Harapan (AMH) Perak mengumumkan pembentukan jawatankuasa baharu penggal ini sebagai langkah strategik memperkukuh gerak kerja gabungan parti tersebut.

Ketua Penerangan, Muhammad Izzuddin Hariz Bohari berkata, barisan baharu itu diputuskan menerusi Mesyuarat Pemerkasaan Organisasi yang diadakan pada Jumaat.

Menurutnya, ia menyaksikan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Khairol Najib Hashim mengetuai jawatankuasa dibantu Zaim Sidqi Zulkifly (Ketua Angkatan Muda Keadilan - AMK) dan Wong Kar Keat (Ketua Pemuda Sosialis DAP- DAPSY) selaku timbalan ketua.

"Mesyuarat sama turut melantik Ahmad Munziri Kabir dari Amanah, Ashraf Kahasani (AMK) dan Wong Choon Ee (DAP) bagi mengisi tiga posisi naib ketua.

"Pembentukan jawatankuasa ini antara lain untuk memperkukuh gerakan anak muda di Perak dalam memperjuangkan agenda reformasi, menjunjung hak rakyat dan mengangkat pembangunan belia ke tahap yang lebih progresif dan inklusif," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Muhammad Izzuddin Hariz berkata, pelantikan jawatan setiausaha diberikan kepada Muhammad Isyraf Mohd Nor daripada AMK dan beliau dibantu Lam Yew Tact (DAP).

Katanya, wakil DAP, Koh Ling Xian dilantik sebagai bendahari bersama Shahrir Sazari (Amanah) selaku timbalan bendahari manakala Ong Hui Xue (DAP) sebagai timbalan ketua penerangan.

"Dengan pelantikan ini, AMH Perak komited menjadi suara ampuh anak muda dan wadah utama dalam menyuarakan isu rakyat serta merangka solusi terhadap cabaran semasa.

"Kepimpinan baharu ini juga bersedia menggalas tanggungjawab memperkukuh kekuatan jentera anak muda dalam menghadapi sebarang cabaran politik termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning April ini," katanya.