Warisan bukan serang institusi istana negeri - Mohd Shafie

KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan bahawa persoalan yang dibangkitkan oleh pemimpin parti itu mengenai perbelanjaan kerajaan bukanlah satu serangan terhadap institusi istana negeri.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah sebaliknya berkata, persoalan itu bertujuan untuk memastikan wang rakyat digunakan dengan berhemah.

"Saya ingin memberi maklum balas terhadap kenyataan terbaharu Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang menuduh pemimpin Warisan membawa institusi istana negeri ke kancah politik.

"Tuduhan tersebut bukan sahaja tidak adil, malah mengelirukan, lebih-lebih lagi apabila ia datang daripada pemimpin tertinggi negeri, ini menunjukkan bahawa Ketua Menteri telah gagal memahami isu sebenar.

"Darell Leiking dan Azis Jamman tidak pernah menghina atau menyerang institusi istana. Mereka hanya mengemukakan persoalan yang jujur tentang sama ada wajar atau tidak untuk membelanjakan wang rakyat bagi penganjuran satu sambutan, dalam keadaan ramai rakyat Sabah yang sedang bergelut dengan kesukaran hidup," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Shafie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang berkata, dalam sistem demokrasi, mengemukakan soalan mengenai perbelanjaan kerajaan bukanlah satu kesalahan.

"Inilah asas kepada konsep semak dan imbang. Jika pemimpin tidak boleh disoal, terutama tentang bagaimana dana awam digunakan, maka jelas ada sesuatu yang tidak kena. Ini bukan soal politik, ini soal keutamaan. Dalam keadaan kehidupan yang sempit, pemimpin harus menunjukkan teladan.

"Apabila rakyat terpaksa mengurangkan perbelanjaan harian, kerajaan juga sepatutnya melakukan perkara yang sama. Kepimpinan yang baik bermaksud sanggup membuat keputusan yang sukar dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan dan bukan menganjurkan majlis yang bersifat kosmetik semata-mata," katanya.

Katanya lagi, rakyat Sabah ketika ini berdepan dengan pelbagai isu dari infrastruktur, kos sara hidup, bencana alam, pengangguran dan sebagainya.

"Perkara-perkara ini yang sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan. Tetapi apabila melibatkan acara kerajaan, prinsip itu seolah-olah tidak terpakai, inilah sebabnya kami mengemukakan persoalan tersebut.

"Warisan sentiasa mendukung prinsip perbelanjaan berhemah dan tadbir urus yang telus. Kita sering dengar pemimpin bercakap tentang penjimatan," katanya.

Jelas beliau lagi, dua pemimpin Warisan tersebut pernah berkhidmat dalam kerajaan dan mereka tahu bagaimana sesuatu acara rasmi diuruskan.

"Soalan yang dikemukakan oleh mereka bukan bersifat peribadi dan jauh sekali tidak beradab. Ia adalah sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat.

"Apabila sesebuah kerajaan mula melabel setiap persoalan sebagai 'pembohongan' hanya kerana ia datang daripada pihak pembangkang, itu bukan kepimpinan. Itu tanda keresahan, itu adalah usaha untuk membisukan suara rakyat," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Shafie menyeru agar Ketua Menteri memberi tumpuan kepada perkara yang penting sahaja.

"Sediakan pekerjaan, baik pulih jalan rosak, sekolah, hospital, dan ringankan beban kehidupan rakyat Sabah.

"Warisan akan terus memperjuangkan kejujuran, tadbir urus yang baik, dan hak rakyat untuk bertanya, walaupun persoalan itu tidak menyenangkan pihak yang berkuasa. Inilah erti demokrasi yang sebenar," tegasnya.