Tak wajar Warisan heret institusi istana dalam permainan politik - Hajiji

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menegur tindakan pemimpin Parti Warisan (Warisan) yang mengheret institusi istana negeri dalam permainan politik dan dakyah mereka.

Beliau berkata, kenyataan Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking dan Ketua Biro Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman di media sosial yang mempersoalkan sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, jelas berniat tidak baik.

"Sebagai Ketua Menteri, saya bertanggungjawab untuk melindungi dan mempertahankan institusi istana, tanpa mengira siapa yang menjadi Yang di-Pertua Negeri.

"Jelas sekali politik telah mengaburi pertimbangan mereka (Darell dan Mohd Azis), sehingga gagal membezakan perbezaan asas antara kerajaan, politik, dan institusi Istana.

"Istana adalah institusi yang bersifat neutral dan tidak sepatutnya diheret ke dalam politik jalanan Warisan yang dipenuhi pembohongan dan penipuan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Hajiji menjelaskan bahawa pada awalnya, Tun Musa mencadangkan supaya sambutan hari jadi TYT tahun ini tidak diadakan kerana tarikh rasmi telah diwartakan pada 30 Mac, yang bertembung dengan sambutan Hari Raya.

"Malah, Tun Musa juga tidak mahu membebankan pihak yang terlibat dalam penganjuran kerana masa yang singkat dan kos yang tidak perlu.

"Namun, sebagai Ketua Menteri, saya berpendapat bahawa sebarang keputusan perlu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri," katanya.

Menurut Hajiji lagi, selepas perbincangan mendalam, Kabinet bersetuju bahawa sambutan rasmi perlu diteruskan tahun ini mengikut konvensi dan tradisi Istana.

"Oleh itu, diputuskan bahawa sambutan akan diadakan pada bulan Jun, tetapi dalam skala sederhana seperti yang diinginkan dan dinasihatkan oleh Tun Musa.

Sehubungan itu, Hajiji berkata, jumlah acara telah dikurangkan daripada 12 acara pada tahun lalu kepada tujuh acara sahaja bagi tahun ini.