Dakwaan skandal rasuah mineral, ini penjelasan Armizan

PAPAR - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali mahu tiga ahli politik yang memanjangkan dakwaan penglibatannya dalam skandal rasuah mineral tampil membantunya mengenal pasti individu yang memulakan fitnah tersebut.

Menurut Ahli Parlimen Papar itu, tuduhan yang dilemparkan kepadanya adalah berasaskan 'mesej layang' tanpa nama yang diterima dan ditularkan di media sosial sejak beberapa hari lalu.

"Saya meminta bekas Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan sebagai individu yang menyumbang kepada penularan 'mesej layang' tersebut untuk mencari sumber dakwaan daripada individu tiada nama dan karakter yang diwujudkan iaitu 'wartawan siasatan (X7)' dan 'Datuk Z' yang ditularkan di platform tidak rasmi termasuk akaun media sosial palsu.

"Jadi saya menggesa pihak yang terlibat, jika benar mereka di pihak yang betul, tampil keluar dari 'alam ghaib', tunjukkan siapa 'Datuk Z' dan wartawan siasatan tersebut. Jangan buat tuduhan secara bertapuk-tapuk (bersembunyi).

"Munculkan diri kalau betul kesalahan yang saya lakukan, bertanggungjawab atas dakwaan tersebut kerana saya menafikan dan ia satu fitnah," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas isu yang tular di media sosial baru-baru ini melibatkan dakwaan terlibat dalam skandal rasuah mineral di negeri ini.

Armizan dalam pada itu turut mencabar Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed, serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong Ket Kiun untuk mencari individu tanpa nama tersebut supaya tindakan perundangan dapat diambil.

"Dengan adanya dua sumber tersebut, saya boleh memulakan tindakan saman fitnah kerana saya tidak boleh menyaman 'hantu raya' (tiada identiti). Saya perlukan identiti untuk memfailkan saman.

"Sekiranya Jeffery, Calvin dan Ahmad tidak berjaya mencari mereka, saya cabar ketiga-tiganya membuat kenyataan susulan bahawa saya terlibat rasuah, katakan secara terbuka.

"Saya juga telah mengarahkan peguam saya untuk menulis surat rasmi kepada mereka bagi mendapatkan penjelasan sama ada tindakan mereka membawa maksud bahawa mereka senada dengan 'mesej layang' yang mengaitkan saya dalam skandal rasuah," katanya.

Mengulas mengenai gambar yang turut tular dan dipersoalkan, Armizan menjelaskan bahawa ketika itu beliau masih memegang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM).

"Berdasarkan mesej yang tular itu, Jeffery mempersoalkan kapasiti saya ketika berada di Indonesia.

"Mungkin mereka tidak sedar bahawa pada 16 Mei 2023, saya masih merupakan Ahli Lembaga Pengarah SMM.

"Jadi, itulah kapasiti saya ketika berada di sana dan saya ke Indonesia atas jemputan PT Bayan sebagai Ahli Lembaga Pengarah dan tidak secara sulit," katanya.

Katanya, beliau juga membawa hampir keseluruhan pengurusan SMM, termasuk pasukan teknikal bagi mendengar cadangan pelaburan syarikat tersebut.

"Jadi malanglah pihak yang mungkin jadikan isu ini untuk cuba menyerang saya, mempersoalkan kapasiti saya sebelum saya diberikan tanggungjawab memangku Menteri KPDN," katanya.

Sehubungan itu, Armizan memaklumkan bahawa beberapa laporan polis telah dibuat oleh kakitangannya dari Pejabat Parlimen Papar.

"Namun, sekiranya tiada tindakan diambil oleh pihak polis terhadap penyebaran mesej tidak sahih ini, saya akan mengambil tindakan peribadi dengan memfailkan saman fitnah," katanya.