Peruntukan terhad, Srikandi tetap bantu rakyat - Mas Ermieyati

MELAKA - Sayap wanita Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menjadikan kekangan peruntukan untuk memperkasakan program kebajikan terutama kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Ketua Srikandinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, setakat ini terdapat 136 bahagian parti itu di seluruh negara yang telah mengadakan persidangan juga tidak ketinggalan melaksanakan kerja kebajikan lebih-lebih lagi di bulan Ramadan.

Menurutnya, usaha membantu rakyat tidak boleh terhenti hanya kerana cabaran kewangan, sebaliknya perlu diteruskan dengan semangat kebersamaan dan keprihatinan.

Malah katanya, laporan yang diterima pihaknya mendapati mereka menggunakan kreativiti dalam melaksanakan program yang dekat di hati rakyat termasuk inisiatif mencari dana bagi memastikan tiada rakyat yang dipinggirkan.

"Walaupun peruntukan terhad, Srikandi di peringkat bahagian tetap mencari jalan untuk memastikan golongan yang memerlukan dapat dibantu.

"Setakat ini terdapat lagi 17 bahagian yang akan bersidang selepas hari raya dan saya yakin bahagian ini juga akan terus mengikut jejak Srikandi bahagian lain yang telah memulakan langkah memperkasakan kebajikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Iftar Bersama Anak Yatim anjuran Srikandi Bersatu Negeri Melaka di Pusat Khidmat Srikandi Bersatu Melaka di Tambak Paya di sini pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Mohd Azrudin Md Idris dan Ketua Srikandi Negeri Melaka, Roseniza Muamad.

Sementara itu seorang penerima, Fariheen Mohd Puad, 42, yang juga ibu tunggal kepada dua orang anak terharu kerana pertama kali anak-anaknya diraikan dan diberikan sumbangan sejak bercerai dengan suaminya enam tahun lalu.

Menurutnya, meskipun mempunyai pekerjaan tetap sebagai pembantu perawatan kesihatan di sebuah kem di Johor, namun dengan anak yang semakin membesar berusia 12 dan 15 tahun sudah pasti kos sara hidup juga meningkat.

"Tanpa sebarang bantuan, saya besarkan anak-anak dan bila pertama kali ada pihak yang prihatin dengan anak saya, memang saya bersyukur serta terharu," katanya.

Pada program itu hampir 70 anak-anak kurang bernasib baik dari enam Parlimen di negeri ini diberikan sumbangan duit raya dan juga hamper yang disampaikan oleh Mas Ermieyati.