Omar Mokhtar pertimbang tanding jawatan Timbalan Ketua AMK

SHAH ALAM - Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), Omar Mokhtar A Manap menyatakan kesediaan untuk bertanding merebut jawatan Timbalan Ketua AMK pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini.

Beliau berkata, pihaknya sudi mempertimbangkan permintaan rakan-rakan seangkatan, namun ruang dan laluan perlu diutamakan kepada pemilihan AMK di peringkat cabang.

“Bagi saya yang juga Setiausaha Angkatan Muda Harapan, saya akui ada menerima permintaan teman-teman AMK untuk jawatan timbalan ketua.

“Maka dengan rendah hati saya bersedia mempertimbangkan permintaan tersebut, namun saya kira buat masa sekarang kita perlu sama-sama beri ruang dan laluan kepada pemilihan AMK di peringkat cabang.

“Sebaik ia selesai, barulah sebarang keputusan pemilihan di peringkat pusat akan diputuskan,“ katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kassim dan EXCO AMK, Arshad Hassni antara individu yang turut menyatakan kesediaan bertanding jawatan sama dalam pemilihan PKR pada Mei depan.

Pemilihan PKR bakal berlangsung pada 24 Mei membabitkan jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan AMK.

Selain itu, pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan AMK Cabang pula ditetapkan pada 11 hingga 20 April.

Omar Mokhtar memaklumkan, pemilihan AMK merupakan medan persiapan barisan kepimpinan yang boleh bekerjasama memperkukuh kedudukan dalam parti.

Tambahnya, Timbalan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim dilihat mendapat sokongan penuh daripada anggota dan kemungkinan besar jawatan Ketua AMK yang baharu tidak dicabar.

"Bagaimanapun, beliau bakal berdepan cabaran hebat untuk memastikan sokongan orang muda dan pengundi atas pagar kembali bersama Keadilan, Pakatan Harapan (PH) serta Kerajaan Perpaduan.

"Bukan itu sahaja, timbalan, naib dan barisan EXCO AMK juga tidak hanya perlu terdiri daripada mereka yang konsisten bekerja untuk parti, tetapi mempunyai kelebihan dari segi nilai tambah khususnya dalam konteks Kerajaan Perpaduan hari ini.

"Mereka bukan sekadar 'jaguh' dalam parti sendiri, tetapi mesti mempunyai hubungan baik dengan rakan-rakan dalam PH, Barisan Nasional (BN) dan sayap pemuda di Sabah serta Sarawak," ujar beliau.