KUALA LUMPUR – Pembangkang menggesa kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji secara mendalam cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dalam memastikan keadilan kepada semua pihak.
Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, terdapat kebimbangan berasas terhadap Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan yang perlu diberikan perhatian serius.
Menurutnya, sekiranya RUU ini tidak diperhalusi dengan cermat, kesannya akan dirasai oleh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
"Dalam sesi penerangan RUU Pembaharuan Semula Bandar bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, ramai pemegang taruh termasuk masyarakat India dan Cina tampil menyuarakan kebimbangan serta mempertahankan hak rakyat.
"Perikatan Nasional (PN) akan menentang sebarang ketidakadilan dalam akta ini dan pada masa sama menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas yang melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk wakil pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan masa depan rakyat terpelihara," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Bagaimanapun, Hamzah tidak menghuraikan dengan lebih lanjut mengenai cadangan jawatankuasa khas yang dikemukakan itu.
Sebelum ini, pembangkang lantang mengkritik usaha kerajaan memperkenalkan PSB dengan mendakwa ia bakal mengakibatkan pengusiran masyarakat Melayu miskin dari kawasan bandar.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan RUU berkenaan sebagai ‘akta rampas rumah’ yang hanya menguntungkan pemaju.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula menyuarakan kebimbangan bahawa ia adalah taktik halus bagi mengusir orang Melayu dan India miskin dari kawasan bandar.
Malah, sayap pemuda Pas turut mengancam untuk mengadakan himpunan bantahan sekiranya RUU ini diteruskan tanpa penelitian sewajarnya.
Mengulas dakwaan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa PSB tidak akan memberi kuasa kepada kerajaan untuk menukar status pemilikan tanah serta tidak akan mengubah peratusan pemilikan bumiputera di kawasan terbabit.
RUU PSB dijangka dibahaskan dalam sidang Parlimen akan datang dan masih menjadi perhatian pelbagai pihak.