TAPAH - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berani turun berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning kerana tiada apa yang boleh dijanjikan kepada rakyat.
Ketuanya, Muhammad Hilman Idham berkata, kegagalan kerajaan Madani dalam menunaikan janji-janji sebelum ini menyebabkan rakyat semakin hilang kepercayaan dan muak dengan kepimpinan sedia ada.
"Anwar Ibrahim tidak akan berani turun ke kawasan DUN Ayer Kuning ini (untuk berkempen) sebab tidak ada apa yang dia boleh janjikan kepada rakyat.
"Harga minyak dia sudah janji, pendidikan percuma dia sudah janji, kos sara hidup rendah pun dia janji. Tetapi mana semua itu? Semakin hari semakin membebankan rakyat,” katanya ketika berucap.
Beliau berkata demikian sempena Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda Perikatan Nasional (PN) N.48 Ayer Kuning di sini pada malam Sabtu.
Hadir menyempurnakan pelancaran tersebut, Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Menurut Hilman, PRK DUN Ayer Kuning bukan sekadar satu pilihan raya kecil, tetapi merupakan referendum rakyat bagi menyampaikan mesej jelas kepada kerajaan negeri dan Putrajaya.
Beliau menegaskan, rakyat sudah tidak boleh bertolak ansur dengan kegagalan pentadbiran kerajaan Madani yang didakwanya tidak mampu menguruskan ekonomi negara dengan baik.
"Kerajaan hari ini bercakap tidak serupa bikin. Mereka janji harga minyak turun, tetapi tak turun-turun. Mereka janji pendidikan percuma, tetapi tak ada yang percuma.
"Mereka kata kos sara hidup akan rendah, tetapi semakin hari semakin melambung tinggi. Ini semua menunjukkan kelemahan pentadbiran Kerajaan Madani," katanya yang juga Timbalan Ketua Pemuda PN.
Sementara itu, Hilman turut menyatakan simpati terhadap penyokong UMNO dan Barisan Nasional yang menurutnya dipergunakan untuk kepentingan politik Anwar.
Mengulas mengenai PRK Ayer Kuning, Hilman menegaskan bahawa PN bersedia untuk memberi saingan sengit dan yakin rakyat di kawasan itu akan memilih perubahan.