SHAH ALAM - Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim mengesahkan bakal bertanding bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung pada Mei depan.
Beliau yang juga Timbalan Ketua AMK berkata, keputusan itu dibuat bagi menggalas tanggungjawab dan hasrat akar umbi yang mahu legasi kepimpinan sedia ada diteruskan.
“Saya ambil tanggungjawab menawarkan diri dengan penuh rasa rendah hati demi meneruskan legasi kepimpinan Ketua AMK, Adam Adli Abd Halim yang berjaya menyatupadukan gerakan ini.
“Dengan sokongan padu daripada akar umbi, insya-ALLAH saya yakin boleh meraih kemenangan,” katanya pada Selasa.
Jawatan Ketua AMK ketika ini disandang oleh Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
Pada 8 Mac lalu, Adam Adli mengumumkan akan bertanding bagi kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada pemilihan parti, sekali gus membuka laluan kepada muka baharu untuk menerajui AMK.
Muhammad Kamil berkata, keputusan untuk bertanding dibuatnya selepas meneliti pelbagai sudut termasuk keperluan memperkukuhkan parti serta memenuhi aspirasi akar umbi.