SHAH ALAM - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor digesa mengumumkan tarikh rasmi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dengan lebih awal.
Jawatankuasa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berkata, ia bagi memastikan semua pihak terutamanya pengundi Sabah yang berada di luar negeri untuk bekerja atau belajar dapat membuat persiapan dan merancang perjalanan pulang demi menunaikan hak masing-masing.
Menurut Bersih, pengumuman awal tarikh pembubaran DUN juga akan memberikan masa mencukupi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), polis dan pihak berkuasa yang terlibat untuk membuat persiapan logistik dan kawalan keselamatan bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya.
Jelasnya lagi, pihak yang ingin bertanding dalam pilihan raya boleh membuat persiapan rapi agar kempen berjalan secara adil dan saksama memandangkan pada Pilihan Raya Umum Sabah ke-15 (PRN15) lalu, peratusan keluar mengundi sekitar 66 peratus sahaja.
“Menurut Institut Darul Ehsan (IDE), peratusan keluar mengundi rendah bagi anak muda di bawah umur 30 tahun iaitu 56 peratus (pengundi 18 hingga 24 tahun) manakala 54.4 peratus (pengundi 25 hingga 30 tahun).
“Bersih dalam Laporan Pemantauan PRU15 melaporkan hanya 20 dari 925 pelajar Sabah di Universiti Sains Malaysia (USM) yang dapat pulang mengundi, malah menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah merangkap Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Mustapha Sakmud, terdapat 200,000 rakyat Sabah yang bekerja dan menuntut di Semenanjung Malaysia.
“Jumlah ini bukanlah kecil dan kerajaan negeri perlu mengambil kira keperluan pengundi Sabah yang berada di luar kawasan untuk menjalankan tanggungjawab demokratik mereka,“ katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, DUN Sabah yang dijadual bersidang selama enam hari pada April depan berkemungkinan menjadi sidang terakhir sebelum dibubarkan bagi memberi laluan pilihan raya negeri ke-17 (PRN17).
Terdahulu, beberapa parti politik dilapor sedang membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya meskipun tarikh pembubaran DUN belum dimuktamadkan secara rasmi.
Hajiji pada November tahun lalu bagaimanapun memberi bayangan bahawa PRN Sabah dijangka diadakan sebelum Oktober tahun ini.
Mengulas lanjut, Bersih berpandangan, ketiadaan tarikh jelas menyukarkan pengundi luar untuk merancang perjalanan mereka terutamanya golongan yang perlu menempah tiket penerbangan lebih awal bagi mengelakkan harga tambang naik terlampau tinggi.
Tambah kenyataan tersebut, tiket penerbangan boleh mencecah ribuan ringgit dan kumpulan sasar bakal menghadapi kesukaran untuk pulang mengundi kerana kos perjalanan tinggi serta kekangan cuti bekerja atau belajar.
“Oleh itu, langkah proaktif perlu diambil untuk memastikan peratusan keluar mengundi lebih tinggi dan tidak mengabaikan hak politik rakyat Sabah yang berada di luar negeri.
“Kami menegaskan bahawa hak mengundi adalah hak asasi setiap warganegara dan sebarang halangan kepada akses pengundian mesti diminimumkan.
“Bersih juga menyeru masyarakat sivil dan parti politik untuk bersama-sama mendesak agar PRN Sabah kali ini lebih telus serta inklusif dengan memastikan akses yang lebih baik kepada semua pengundi tanpa diskriminasi," ujar kenyataan itu lagi.