SHAH ALAM - Barisan kepimpinan baharu DAP perlu memulihkan kepercayaan dan keyakinan penyokong yang melihat parti itu 'senyap' dalam beberapa isu berkaitan agama serta kaum.
Veteran DAP, Ronnie Liu malah turut mengingatkan supaya parti itu tidak memandang rendah terhadap kebimbangan dan ketidakselesaan rakyat.
"Agenda reformasi yang dijanjikan sebelum ini juga tidak diberi tumpuan dan dilaksana seperti diharapkan.
"Terlalu berdiam diri boleh berisiko hilang rasa hormat dan kepercayaan penyokong dan pengundi secara umum," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.
Pada pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang berlangsung Ahad lalu, Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo meraih undi tertinggi sekali gus dilantik sebagai Pengerusi Kebangsaan yang baharu menggantikan Lim Guan Eng.
Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook yang juga Menteri Pengangkutan pula mengekalkan kedudukan sebagai Setiausaha Agung parti untuk penggal kedua manakala Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilantik Timbalan Pengerusi Kebangsaan.
Dalam pada itu Ronnie mengingatkan DAP agar tidak memberi persepsi sebagai sebuah parti yang tunduk kepada parti komponen lain dalam kerajaan.
Sebagai sebuah parti komponen terbesar dalam Kerajaan Perpaduan, bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat itu mahu DAP menampilkan imej kukuh dan positif.
"Parti yang kuat dan bersatu akan memberi manfaat kepada Kerajaan Madani yang menekankan belas kasihan, kemodenan, keadilan, demokrasi dan keharmonian.
"Saya ucapkan selamat maju jaya dan semoga berjaya kepada kepimpinan baharu DAP," ujarnya.