SHAH ALAM - Biarpun kerusi nombor satu dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas hampir pasti kekal milik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anthony Loke Siew Fook dan Tan Sri Abdul Hadi Awang, namun persaingan merebut jawatan-jawatan utama lain masih terbuka luas.
Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, walaupun Anthony mampu mempertahankan jawatan sebagai Setiausaha Agung DAP, namun pertembungan sengit bagi merebut 30 jawatan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) bakal menjadi tumpuan termasuklah jawatan Pengerusi DAP Kebangsaan yang kini disandang bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Menurut Mazlan, pertembungan antara kumpulan penyokong Anthony dan Guan Eng dijangka sukar dielakkan susulan ramai ahli dan pemimpin DAP terutama generasi muda mahu melihat parti menjadi lebih terbuka dan mewakili masyarakat majmuk.
**media[3045845]**
Justeru, Mazlan meramalkan pemimpin pro reformasi diketuai Anthony bakal menguasai sebahagian besar kerusi CEC dalam pemilihan DAP kali ini berbanding kumpulan pro Guan Eng.
“Legasi keluarga Lim mungkin berakhir jika Guan Eng kalah pemilihan CEC dan tidak dipilih semula sebagai Pengerusi DAP Kebangsaan kerana adiknya, Lim Hui Ying tidak mempunyai pengaruh besar dalam DAP sebagaimana pengaruh beliau dan bapanya, Tan Sri Lim Kit Siang,” katanya kepada Sinar Harian.
Antara jawatan utama bakal menjadi tumpuan dalam pemilihan DAP:
Pengerusi DAP Kebangsaan yang kini disandang oleh Guan Eng
Timbalan Pengerusi Kebangsaan - Gobind Singh Deo (penyandang) - spekulasi mengatakan beliau antara disebut-sebut bakal menjadi Pengerusi DAP Kebangsaan baharu
**media[3045846]**
Naib Pengerusi - Chong Chieng Jen (penyandang) - mungkin kekal bagi memenuhi kuota Borneo
Naib Pengerusi - Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (penyandang) - mungkin kekal
Naib Pengerusi - M Kulasegaran (umum tidak pertahankan jawatan)
Naib Pengerusi - Teresa Kok (penyandang) berdepan laluan sukar mempertahankan jawatan itu susulan terpalit isu rasuah membabitkan dua bekas pembantu peribadinya.
Naib Pengerusi - Nga Kor Ming (penyandang) merupakan antara calon berpotensi cerah menggantikan tempat Gobind Singh selaku Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan sekiranya Guan Eng tidak dipilih mengekalkan jawatan disandang.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong dijangka dipilih sebagai Naib Pengerusi DAP baharu.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong (dijangka dipilih sebagai Naib Pengerusi DAP baharu)
Sementara itu, dalam pemilihan PKR yang bakal dilaksanakan pada Mei ini, tumpuan utama umum pastinya terarah kepada perebutan jawatan naib presiden dan ketua sayap-sayap parti seperti Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita.
Hal ini susulan dua jawatan tertinggi parti yang disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden dan Datuk Seri Rafizi Ramli (Timbalan Presiden) dijangka tidak akan dicabar.
Antara pemimpin yang bakal bertanding jawatan Naib Presiden ialah:
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (penyandang)
**media[3045748]**
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (penyandang)
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang (penyandang)
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi bin Nik Ahmad (penyandang)
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution (mencuba nasib bertanding jawatan Naib Presiden selepas letak jawatan Setiausaha Agung PKR)
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar (mungkin membuat come back)
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mungkin mencuba nasib bertanding jawatan Naib Presiden PKR
Bagi jawatan Ketua Wanita Keadilan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dijangka berdepan cabaran dua penjuru daripada bekas pesaingnya pada pemilihan parti yang lalu iaitu Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.
Sebelum ini, Rodziah dilaporkan kalah tipis di tangan Ahli Parlimen Nibong Tebal itu dengan perbezaan hanya 32 undi pada pemilihan 2022.
Dalam pada itu, bagi jawatan Ketua AMK dengan penyandangnya, Adam Adli Abdul Halim yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan dijangka tidak mempertahankan jawatan kerana melebihi had umur, tumpuan pastinya terarah kepada dua bintang muda PKR yang semakin menyerlah di persada politik nasional.
Dua pemimpin muda berkenaan adalah Timbalan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim yang kini turut memegang jawatan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan serta Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Beralih kepada proses pemilihan parti Pas, susulan dua kerusi tertinggi parti itu mungkin tidak dicabar oleh mana-mana pemimpin, maka persaingan akan lebih terarah kepada tiga jawatan naib presiden, Jawatankuasa Pas Pusat dan ketua-ketua sayap.
Antara pemimpin yang bakal bertanding jawatan Naib Presiden ialah:
Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad (penyandang)
Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah (penyandang)
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar (penyandang)
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (muka baru)
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari (muka baharu)
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (muka baharu)
Jawatan sayap-sayap parti Pas:
Ketua Dewan Ulamak - Ahmad Yahaya (penyandang)
Ketua Dewan Pemuda - Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden (penyandang)
Ketua Dewan Muslimat - Nuridah Mohd Salleh - penyandang