SHAH ALAM - Kedudukan Anthony Loke sebagai Setiausaha Agung DAP dijangka kekal dalam pemilihan parti itu Ahad ini melihat kepada sokongan yang diterima beliau.
Bekas Naib Pengerusi DAP Selangor, Charles Santiago berkata, keyakinan itu bersandarkan wujud perbincangan untuk mengekalkan kedudukan Anthony Loke dan ia mendapat sokongan sepenuhnya pemimpin lain.
Namun katanya, keputusan rasmi hanya akan ditentukan oleh 30 perwakilan dalam jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) yang akan dipilih dalam pemilihan itu dan seterusnya kumpulan berkenaan akan membuat ketetapan pemimpin yang dirasakan layak memegang jawatan tersebut.
**media[3045880]**
“Apa yang saya dengar 100 peratus dalam perbincangan yang diadakan di beberapa tempat menyatakan sokongan untuk Anthony Loke menjadi Setiausaha Agung.
“Difahamkan juga tiada sesiapa yang akan mencabar beliau dan ada juga persetujuan dalam kalangan perwakilan, cawangan-cawangan yang meminta agar beliau sekali lagi dilantik sebagai Setiausaha Agung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan Menteri Pengangkutan itu dalam pemilihan parti yang dijadual berlangsung esok.
Pemilihan DAP pada kongres kebangsaan kali ke-18 itu berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam akan menyaksikan 70 calon merebut 30 jawatan dalam CEC.
Sementara itu, ditanya mengenai hala tuju parti itu terutama dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Charles yang juga bekas Ahli Parlimen Klang berkata, antara fokus utama yang akan dibincangkan dalam kongres tersebut ialah mengenai masa depan DAP dan juga peranan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau dalam masa sama turut berharap agar kepercayaan harus diberikan kepada muka baharu untuk memimpin parti agar berupaya meletakkan DAP sebagai antara parti yang menjadi pilihan rakyat di negara ini.
**media[3045881]**
Dalam pada itu, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari turut mempunyai pandangan sama, namun tidak menafikan hak perwakilan untuk menentukan kedudukan Anthony Loke.
Beliau berkata, dengan kebolehan Ahli Parlimen Seremban itu menangani beberapa isu dalaman parti dan juga menjadi faktor beliau akan terus mendapat sokongan.
“Kalau kita lihat dalam aspek peranannya dalam Kerajaan Perpaduan sebagai menteri, beliau berjaya melaksanakan tugas yang diberikan. Masalah dalaman yang berlaku itu biasa tetapi masalah itu bukan berpunca daripada beliau tapi pihak lain,” katanya.
Ditanya sama ada wajar untuk mengekalkan kedudukan Anthony Loke selaku Setiausaha Agung DAP dalam pemilihan kali ini, Aziz menegaskan tidak timbul soal berkenaan kerana ketetapan parti telah dipersetujui.
Ujarnya, DAP berbeza dengan parti-parti lain di negara ini kerana mempunyai ketetapan dan ia perlu dipatuhi.
“DAP ini sudah ada jadual dia, maksudnya tidak timbul soal untuk memendekkan atau memanjangkan jawatan mana-mana pemimpin. Sampai masa ia harus dipatuhi,” katanya.
Berdasarkan tradisi DAP, Setiausaha Agung adalah pemimpin de facto yang akan menentukan hala tuju parti.
Sejak mengambil alih daripada Lim Guan Eng pada 2022, Anthony Loke dilihat berjaya menstabilkan parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Justeru, pemilihan CEC Kali ini bakal menentukan sama ada kepimpinan Anthony Loke terus mendapat mandat kukuh atau wujud cabaran dari barisan kepimpinan lain.