SEREMBAN - Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bersedia mempertahankan jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung Mei ini.
Beliau bagaimanapun tidak mahu terlalu yakin kerana sedar bakal berdepan cabaran daripada pemimpin lain yang mahu mencuba nasib.
"Insya-ALLAH, saya rasa akan mempertahankan jawatan Naib Presiden.
"Nak kata peluang itu agak sukar kerana sedia maklum setelah kita menjadi sebuah kerajaan, pastinya ramai kepimpinan yang akan menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Besar di kediaman rasminya, Jumaat lalu.
Bagaimanapun, katanya, itulah konsep demokrasi yang harus diraikan oleh semua, dan beliau sendiri terbuka menerima saingan daripada sesiapa sahaja.
Tambahnya, kalah atau menang adalah pertarungan biasa dalam keluarga besar parti itu.
"Jadi, kalau saya kalah pun, saya kena akur dan kalau menang pun, saya kena lihat rakan-rakan yang berjuang bersama kerana mereka juga mempunyai potensi besar.
"Bukan kalau menang, saya menang semua kerana kemenangan itu adalah untuk parti," katanya.
Menteri Besar itu pada masa yang sama turut mengesahkan akan mempertahankan jawatan Ketua Cabang Port Dickson untuk penggal kedua.
Jelasnya, beliau telah pun selesai mengisi borang pencalonan Ketua Cabang secara dalam talian pada Jumaat.
Ditanya kemungkinan berdepan cabaran daripada bekas Ketua Cabang Port Dickson, Datuk M. Ravi, Menteri Besar itu berkata, beliau mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu bertanding.
"Dalam parti politik, bertanding adalah perkara biasa, demokrasi, dan kita mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu bertanding, tiada halangan.
"Seperti kata Presiden, parti ini adalah parti yang mengamalkan demokrasi, dan siapa menang, kita serahkan kepada pengundi untuk menentukannya," katanya.
Aminuddin, yang sebelum ini merupakan Ketua Cabang PKR Tampin sejak 2018 telah mengesahkan berpindah keahliannya dalam parti ke Cabang Port Dickson sejak tahun 2022.
Dalam Pemilihan PKR 2022, beliau menewaskan tiga calon lain, termasuk penyandang jawatan ketika itu, Datuk M Ravi yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Sembilan.