Muhyiddin saran tubuh RCI siasat industri tanaman padi

SHAH ALAM – Kerajaan disaran menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat elemen ketirisan dan jenayah perdagangan dalam industri penanaman padi.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isu padi dan pasaran beras yang tidak mencukupi telah mencetuskan krisis serta keresahan dalam kalangan petani dan rakyat.

Menurut Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, beliau berkesempatan menghadiri sesi pembentangan mengenai isu padi, beras dan akses kepada benih oleh wakil Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH).

Jelasnya, antara perkara yang dibangkitkan dalam sesi tersebut ialah peningkatan kos input seperti benih, baja, dan racun yang tidak berkualiti, caj perkhidmatan jentera, serta isu monopoli.

“Petani juga mahu harga lantai padi dinaikkan kepada RM1,800 daripada RM1,300 per tan metrik susulan peningkatan pelbagai kos tersebut.

“Saya berpandangan isu ini perlu diselesaikan secara menyeluruh melibatkan setiap rantaian ekosistem padi dan beras serta penglibatan agensi kerajaan berkaitan.

“Saya mencadangkan agar kerajaan menyediakan satu Kertas Putih Industri Padi dan Beras bagi memperhalusi pelbagai isu langsung dan tidak langsung yang mengganggu kelestarian industri,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan PeSAWAH telah menghantar memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi menuntut kenaikan harga lantai padi kepada RM1,800 per tan metrik.

Menurut pertubuhan itu, harga lantai semasa sebanyak RM1,300 per tan metrik tidak lagi relevan dengan kos operasi yang ditanggung pesawah.

Justeru, pada 27 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan KPKM untuk berbincang dengan pihak berkaitan, termasuk pesawah, bagi mencari jalan penyelesaian mengenai isu benih padi dan baja.