SHAH ALAM - MCA mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, yang tidak melaporkan salah laku melibatkan bekas pegawainya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Beliawanisnya, Ivone Low Yi Wen berkata, Teresa yang juga merupakan Naib Presiden DAP itu didakwa mengakui mengetahui isu salah laku dibuat oleh mana-mana pihak termasuk pegawainya, tetapi tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa.
“Teresa perlu membuat membuat laporan kepada SPRM sekiranya sedar kewujudan salah laku yang dibuat oleh mana-mana pihak termasuk pegawainya.
“Beliau sendiri mengakui telah mengetahui isu ini pada Oktober 2024, tetapi mengapa tidak membuat laporan kepada pihak SPRM? Adakah tidak yakin bahawa pemberi maklumat akan dilindungi mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010?
“Adakah beliau berpegang teguh kepada prinsip DAP yang kononnya memperjuangkan tadbir urus yang baik, integriti dan keadilan sosial untuk rakyat sekiranya beliau sendiri enggan melaporkan salah laku rasuah kepada pihak berkuasa?” soalnya menerusi kenyataan di Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini, Teresa mempertahankan keputusan tidak melaporkan bekas pegawainya kepada SPRM selepas mendapati wujud dakwaan penyelewengan dana kawasan parlimennya, susulan kritikan bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker.
Lian Ker mempersoalkan kenyataan veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, bahawa Teresa menjunjung prinsip ‘integriti, akauntabiliti, tanggungjawab, tadbir urus baik dan demokrasi’.
Dalam pada itu, Ivone berkata, sebagai pemimpin DAP berpengalaman, Teresa perlu mengetahui etika dan tanggungjawab yang perlu dipikul jika terdapat penyelewengan atau jenayah melibatkan mana-mana pihak, termasuk pegawainya.
“Adakah dengan memecat pegawai yang terlibat itu sudah memadai? Kenapa pecat mereka tetapi tidak buat laporan? Atau adakah Teresa cuba sorokkan sesuatu?
“Saya berharap agar SPRM dapat menjalankan siasatan dengan telus terhadap mereka yang dikaitkan dengan isu ini kerana ia melibatkan peruntukan kepada bidang pendidikan,” ujarnya.
Beliau turut menggesa SPRM menjalankan siasatan telus tanpa pilih kasih atau ‘double standard’ terhadap isu tersebut kerana ia adalah bagi memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan Madani.
Tambahnya, walaupun DAP merupakan sebahagian daripada kerajaan, mereka tidak boleh terlepas daripada tindakan sekiranya terbukti bersalah.