KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mendesak Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memberikan penjelasan segera berhubung status sebenar suntikan dana RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Berhad (SAPNRG).
Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mempersoalkan bagaimana dana yang sebelum ini dikatakan sebagai pelaburan strategik oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) tiba-tiba bertukar menjadi pinjaman dalam tempoh satu malam.
Dr Dominic Lau menegaskan bahawa wang rakyat bukanlah alat percaturan politik dan kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah kenyataan bagi mengelak tanggungjawab.
"Jika ini pinjaman, apakah syarat-syaratnya? Adakah ia melibatkan faedah? Jika Sapura Energy gagal memperoleh keuntungan dalam tempoh lima atau sepuluh tahun, bagaimana kerajaan akan mendapatkan kembali wang ini? Atau adakah ia akan menjadi hutang lapuk?" soalnya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau juga menyoroti percanggahan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, yang menyatakan dana RM1.1 bilion itu adalah dalam bentuk bon boleh tebus dan boleh tukar.
"Namun, ia masih tidak jelas sama ada wang tersebut benar-benar datang daripada kerajaan atau PNB," ujarnya.
Selain itu, Dr Dominic Lau menuntut agar laporan audit forensik oleh firma perakaunan antarabangsa Ernst & Young (EY) didedahkan kepada rakyat. Bagi beliau, rakyat berhak mengetahui asas keputusan kerajaan untuk menyelamatkan Sapura Energy.
"Kerajaan Madani sering bercakap tentang ketelusan, tetapi apabila ditanya, mereka berdolak-dalik. Jika laporan EY menjadi asas kepada keputusan ini, dedahkan kepada umum tanpa sebarang helah politik," tegasnya.
Beliau juga mengkritik Anwar yang didakwa sering mengubah pendirian dalam pelbagai isu, termasuk pembiayaan lawatan rasmi ke luar negara.
Dr Dominic Lau sehubungan itu menggesa agar soalan kritikal yang dibangkitkan tidak diputar belit sebagai serangan politik, sebaliknya dijawab dengan fakta yang jelas.
"Rakyat kini menantikan jawapan sebenar, adakah suntikan RM1.1 bilion ini satu pelaburan, pinjaman, atau hanya satu lagi langkah menyelamat syarikat yang akhirnya membebankan pembayar cukai, " tambahnya.