PRK Ayer Kuning: Pas pilih calon akhir Sabtu ini

KOTA BHARU - Pas akan memilih beberapa calon akhir sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada mesyuarat dan pelancaran jentera pilihan raya Sabtu ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, mereka sudah menyenaraikan beberapa nama calon yang akan diangkat kepada Pas Pusat.

Menurut beliau, parti itu juga mempertimbangkan meletakkan calon muda di bawah usia 40 tahun berdasarkan jumlah pengundi muda yang lebih 40 peratus.

"Kita memilih calon 'winnable' (boleh menang) dan akan berbincang dengan Pas Perak serta PN," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panel selepas Forum Khas Bandar Raya Islam di Madinah Ramadan di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah.

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin yang juga Ketua Whip Pembangkang memberitahu, PN akan menghantar surat kepada kerajaan Pusat bagi membincangkan peruntukan ahli Parlimen pembangkang.

Jelas beliau, pihaknya mahu mendapatkan perincian oleh kerajaan khususnya yang dimaksudkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bahawa beliau boleh berbincang dan menubuhkan jawatankuasa perundingan.

"Dalam kepimpinan Perdana Menteri sebelum ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus menubuhkan jawatankuasa untuk kita bincang terma-termanya dan akhirnya kita berjaya (terima peruntukan)," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga enggan mengulas lanjut mengenai penghantaran Memorandum Persefahaman (MoU) sebelum ini.

"Tiba-tiba hantar kepada kita, saya tak nak ulas banyak, sepatutnya tubuh jawatankuasa terus berkenaan cadangan kerajaan sama ada kita boleh setuju atau sebaliknya," katanya.