SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Shah Alam dalam pemilihan parti yang akan berlangsung pada 20 April depan.
Menurutnya, beliau merupakan individu kedua yang akan merebut jawatan itu selepas Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail sebelum ini dilapor mahu mempertahakan kedudukannya.
Beliau berkata, keputusan itu juga dibuat selepas mengambil kira pelbagai pandangan dan saranan melibatkan pimpinan serta anggota akar umbi parti.
"Pentas pemilihan parti pada kali ini perlu berlandaskan dengan semangat perpaduan, keterbukaan dan nilai hormat, ia juga sewajarnya dimanfaatkan sebagai ruang oleh anggota untuk memilih barisan kepimpinan yang efektif, berdaya saing dan berupaya mempertahankan kepentingan serta menjamin kelangsungan parti.
"Dengan ini, selepas mengambil kira semua pandangan dan saranan, dengan penuh tawaduk, saya menawarkan kepimpinan dan komitmen sebagai calon Ketua Cabang PKR Shah Alam dalam pemilihan akan datang.
"Saya percaya dengan sokongan anggota cabang, PKR Shah Alam akan bangkit sebagai satu ketumbukan yang lebih kuat terutama mengharungi percaturan politik nasional yang semakin mencabar, saya mohon sokongan seluruh kepimpinan dan anggota parti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Iftar Kota Anggerik dan Sambutan Hari Wanita Sedunia di Dewan Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohd Najwan juga Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor berkata, beliau menawarkan diri dan kepimpinannya untuk memastikan PKR Cabang Shah Alam lebih agresif dan menjaga 15,000 ahli termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu tiga, walaupun kawasan itu kini diwakili oleh anggota Parti Amanah Negara (Amanah).
"Walaupun di Shah Alam hanya ada DUN Anggerik sahaja yang diwakili PKR, tetapi kita akan pastikan kekuatan dan pengaruh ini tidak luntur di Shah Alam kerana kita mahu pastikan ahli-ahli khususnya yang berada di Batu Tiga dipelihara kebajikan mereka.
"Ini kerana kita tahu di Shah Alam ini kekuatan Pakatan Harapan (PH) bergantung kuat pada PKR di Shah Alam. Kalau PKR Shah Alam ini lemah, ia akan memberikan impak kepada keseluruhan ekosistem politik di Selangor.
"Jadi, ia mengambil kira pengalaman dan penglibatan saya secara langsung dalam pentadbiran parti. Semua kekuatan ini kita tawarkan kepentingan yang lebih baik untuk kita terajui parti," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata, beliau masih mempertimbangkan untuk bertanding pada peringkat pusat parti tersebut.
"Ia masih dalam pertimbangan, cuma saya lebih mahu memfokuskan untuk menjaga cabang Shah Alam terlebih dahulu dan memberikan keyakinan kepada masyarakat di luar bahawa cabang Shah Alam kukuh.
"Untuk peringkat pusat, nanti saya akan maklumkan jika ada perubahan," katanya.