UMNO beri amaran pihak cuba pertikai, cabar kedudukan Islam – Asyraf Wajdi

SHAH ALAM - UMNO tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mempertikai, meremeh ataupun mencabar asas-asas penting yang menjadi teras kestabilan negara terutamanya kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bagaimanapun menegaskan, keistimewaan dimiliki oleh Melayu-Bumiputera itu juga tidak sesekali menafikan hak kebebasan beragama dan berbudaya yang dijamin Perlembagaan.

Malah katanya, parti itu turut memandang serius perkembangan semasa melibatkan isu-isu berkaitan sensitiviti keagamaan, perkauman dan Institusi Raja-Raja Melayu hingga mencetuskan kegelisahan serta ketidaktenteraman di dalam masyarakat Malaysia berbilang agama dan kaum.

"UMNO menyeru supaya seluruh rakyat Malaysia kekal mempertahankan prinsip Rukun Negara dan keluhuran Perlembagaan sebagai asas penting yang membina negara bangsa sejak merdeka.

"Keindukan Islam dan Melayu-Bumiputera dalam sifat kemajmukan Malaysia mesti terus dipelihara," katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, ketetapan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung pada Rabu.

Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa dilapor, menzahirkan rasa dukacita apabila masih ada pihak yang berani mempermainkan agama Islam serta mencetuskan polemik berkaitan 3R (agama, kaum, dan raja) demi kepentingan sendiri.

Baginda bertitah bahawa tindakan sedemikian bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah boleh menggugat keharmonian negara yang telah sekian lama dipelihara.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, mesyuarat sama turut memutuskan tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2025 ditetapkan pada 20 hingga 23 Ogos ini.

Persidangan UMNO cawangan pula ditetapkan mulai 7 April hingga 25 Mei, manakala mesyuarat perwakilan bahagian diputuskan pada 9 Jun hingga 27 Julai.

Sementara itu, Asyraf Wajdi turut memaklumkan UMNO akan menggerakkan jentera dari seluruh Malaysia untuk membantu parti dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak.