Kon Yeow kekal 'low key', enggan komen spekulasi jawatan Pengerusi DAP

GEORGE TOWN - Naib Pengerusi DAP, Chow Kon Yeow akan kekal dalam personaliti 'low key' dalam parti dan enggan mengulas lanjut berhubung spekulasi mengenai beliau akan menggantikan Lim Guan Eng sebagai Pengerusi DAP.

Kon Yeow yang juga Ketua Menteri berkata, beliau lebih selesa untuk berada dalam keadaan merendah diri tanpa memberi sebarang komen mengenai khabar angin tersebut.

"Saya lebih suka kekal dengan personaliti 'low key' dalam parti. Saya akan bergerak ke hadapan.

"Buat masa ini, saya tidak mahu komen perkara ini (bakal jadi Pengerusi DAP) kerana ia boleh menjadikan saya lebih high key,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini pada Rabu.

Sebelum ini, timbul spekulasi bahawa Kon Yeow antara nama yang disebut-sebut untuk menerajui kepimpinan DAP selepas tempoh Guan Eng berakhir.

Pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 16 Mac ini, Kon Yeow akan mempertahankan jawatannya sebagai ahli CEC.

Beliau sebelum ini menyandang jawatan Naib Pengerusi DAP Kebangsaan dan menerajui parti itu di Pulau Pinang selama 25 tahun sebelum mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan Pengerusi DAP Pulau Pinang pada Ogos tahun lalu.

Ketika ini, DAP Pulau Pinang dipimpin oleh Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Pemilihan CEC kali ini bakal menyaksikan 30 calon mengisi jawatan dalam badan tertinggi parti itu sempena Kongres Kebangsaan DAP ke-18.

Sebelum ini, empat pemimpin veteran DAP termasuk Naib Pengerusinya, M Kulasegaran mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan bagi memberi laluan kepada kepimpinan baharu.

Tiga lagi pemimpin yang membuat keputusan sama ialah Penasihat DAP, Tan Kok Wai, Bendahari DAP, Fong Kui Lun serta ahli CEC, Datuk Seri Phee Boon Poh.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, Program i-Sejahtera Fasa 1 Tahun 2025 mula disalurkan pada Rabu secara 'Electronic Fund Transfer (EFT)' dengan memberi manfaat kepada 274,151 penerima.

Menurutnya, penerima tersebut terdiri daripada 205,089 daripada Program Bantuan Penghargaan Warga Emas, Program Suri Emas (43,321), Program Bantuan OKU (15,330) dan Program Bantuan Ibu Tunggal (10,411).

"Jumlah keseluruhan bayaran Program i-Sejahtera Fasa 1 melibatkan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM49.46 juta.

"Permohonan yang dikemukakan selepas tarikh 10 Februari 2025 akan menerima pembayaran pada Fasa 2/2025. Pendaftaran boleh dibuat melalui laman web rasmi i-Sejahtera," katanya.