KOTA KINABALU – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang giat mengumumkan pelbagai projek pembangunan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Beliau mempertikai sama ada pengumuman tersebut adalah usaha sebenar untuk membangunkan negeri atau sekadar strategi lama memancing undi.
"Taktik mengumumkan projek saat akhir adalah strategi politik zaman batu yang tidak lagi relevan di era kini. Rakyat Sabah bukan mudah diperdaya dengan janji manis, lebih-lebih lagi apabila mereka masih berdepan kesulitan mendapatkan kemudahan asas yang sepatutnya sudah lama diselesaikan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu turut mempertikai kesungguhan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam menangani isu bekalan air, elektrik, dan jalan raya yang menurutnya tidak menunjukkan penyelesaian konkrit sejak kerajaan negeri mengambil alih pentadbiran.
"Jika kerajaan negeri benar-benar serius, sepatutnya masalah asas rakyat ini telah lama menjadi keutamaan, bukan hanya dijadikan modal politik menjelang pilihan raya," tegasnya.
Menurut Bung Moktar, kelewatan dalam menangani isu tersebut telah menjejaskan kehidupan rakyat serta sektor ekonomi Sabah.
Beliau menegaskan bahawa rakyat Sabah mahu tindakan nyata bukan sekadar pengumuman megah yang akhirnya tinggal janji kosong.
"Kerajaan negeri harus bersikap telus dan bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan rakyat terbela dengan polisi serta pelaksanaan yang berkesan, bukan sekadar retorik politik," katanya.