KOTA KINABALU – Parti Warisan menegaskan bahawa kesetiaannya terhadap kerajaan Perpaduan tidak seharusnya dipersoalkan hanya kerana keputusan parti itu untuk bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) di Sabah.
Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, meskipun Warisan tidak bekerjasama dengan mana-mana parti di peringkat negeri, parti itu tetap konsisten menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya merujuk kepada kenyataan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chean Chung yang mempertikaikan keputusan Warisan untuk bertanding secara solo dalam PRN Sabah akan datang.
"Kenyataan ini seolah-olah menggambarkan pendirian Warisan terhadap Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan tidak jelas, sedangkan realitinya, Warisan telah menunjukkan pendirian yang konsisten sejak sekian lama.
"Sejak Langkah Sheraton, Warisan tidak pernah berpaling daripada menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim. Malah, ketika peralihan kuasa daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Warisan tetap teguh menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut Mohd Azis, pendekatan Warisan di Sabah bertujuan memastikan prinsip semak dan imbang sebagai parti pembangkang di negeri ini.
"Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah menyatakan dengan jelas dalam mesyuarat Kerajaan Perpaduan bahawa Warisan memilih untuk menjadi pembangkang di peringkat negeri Sabah.
"Ini bagi memastikan proses semak dan imbang yang lebih kukuh demi kepentingan rakyat Sabah," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Warisan bukan parti yang mengkhianati rakan sekutu politiknya.
"Warisan tidak menikam rakan dari belakang. Apabila Pakatan Harapan (PH) memilih untuk membentuk kerajaan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan mengambil keputusan untuk kekal sebagai pembangkang berdasarkan prinsipnya.
"Oleh itu, agak menghairankan apabila ada pihak yang terkejut dengan pengumuman Warisan untuk bertanding secara solo," katanya.
Bekas Ahli Parlimen Sepanggar itu turut mempersoalkan mengapa Warisan dipersoalkan, sedangkan situasi serupa berlaku di Sarawak.
"Di Sarawak, PH bukan sebahagian daripada kerajaan negeri kerana Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak menerima PH sebagai rakan kongsi. Malah, PH telah mengumumkan akan bertanding dalam PRN Sarawak menentang GPS.
"Jika GPS tidak dipersoalkan tentang kesetiaannya kepada Kerajaan Perpaduan meskipun tidak menerima PH di peringkat negeri, mengapa Warisan pula dipersoalkan hanya kerana memilih untuk bertanding secara solo di Sabah?
"Jika PH boleh menentang GPS di Sarawak, mengapa Warisan tidak boleh menentang PH dan sekutunya GRS di Sabah?" soalnya.
Sehubungan itu, Mohd Azis berharap semua pihak menghormati pendirian Warisan, sebagaimana parti itu menghormati hak rakan lain dalam Kerajaan Perpaduan untuk membuat keputusan sendiri.