BUKAN sahaja UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas akan saling berebut melawan Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang lain pada Pilihan Raya Umum 15 (PRU15).
Malah keadaan ini sebenarnya memberi kelebihan kepada PH dalam usaha menggerakkan ‘grand coalition’ atau gabungan besar semasa pelaksanaan proklamasi darurat.
Namun sejauhmana PH dan parti pembangkang lain dapat memanfaatkan pergolakan atau konflik melanda tiga parti Melayu itu masih lagi menjadi tanda tanya.
Mungkinkah dengan kemelut ini, memberi peluang terbuka buat pembangkang ‘memujuk’ kembali rakyat pada PRU15.
Ditambah krisis pandemik Covid-19 yang menyaksikan rakyat terus derita kesan ekonomi yang tidak menentu serta keyakinan Parti Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin merundum dek kekecewaan rakyat terhadap pemerintahan sekali gus diyakini sukar untuk menang pada PRU15.
Adakah anak muda mewakili parti sudah bersedia untuk berlawan pada PRU15 atau tarik ‘handbrake’ tunggu keadaan negara reda daripada wabak yang telah meragut ribuan nyawa dalam negara?
Pemuda UMNO persiap minda
Mengulas lanjut, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, berkata, sudah tentu beliau mempersiapkan minda Pemuda UMNO dengan beberapa kemungkinan senario yang boleh berlaku menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) berasaskan fakta semasa.
Antaranya ia berdasarkan keputusan terkini Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang telah memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam PRU15 akan datang.
"Jika keputusan tidak bersama Bersatu ini kekal, persoalan pokok adalah bagaimana pula pendirian Pas yang kini menjadi salah satu komponen dalam PN?.
"Apakah Pas masih mahu mengekalkan kesepakatan dengan BN melalui Muafakat Nasional atau terus bersama PN menghadapi PRU15," soalnya.
Namun Asyraf berkata, apa jua senario seperti yang disebutkan itu, sudah tentu jentera Pemuda BN bersiap-siaga untuk hadapi apa jua kemungkinan termasuk bersendirian sebagai BN.
Ujarnya, langkah itu perlu diambil, lebih-lebih lagi selepas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan, memberi bayangan akan mempertahankan semua kerusi yang pernah ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Saya mengikuti banyak perkara yang melibatkan politik, kita bincangkan isu paling hangat soal hubungan dengan Bersatu yang telah diputuskan (MKT). Kita semua sepakat, Pemuda UMNO mendukung dan menyokong keputusan MKT. Maknanya sebulat suara.
"Kebetulan pula dalam kita berbahas dan bersidang ini, baru sahaja tadi Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata untuk bertanding semua kerusi yang UMNO tandingi,” katanya semasa menggulung perbahasan sayap Pergerakan Pemuda sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) pada Mac lalu.
Asyraf Wajdi berkata, UMNO juga tidak mahu wujud insiden 'tikam belakang' apabila memasuki gelanggang pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun, beliau berkata, UMNO sentiasa mahu mempertahan dan memperkukuhkan kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) seperti yang disuarakan beberapa perwakilan pergerakan itu.
Persoal kesan Darurat
Sementara itu, beliau juga pernah mempersoalkan dan melontarkan pilihan kepada pengguna di Facebook rasminya sama ada kerajaan semasa berjaya atau gagal dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19 di negara ini dengan menggunakan Darurat.
Katanya, pada 11 Januari tahun ini satu pengisytiharan Darurat telah diwartakan dengan matlamat menangani ancaman Covid-19.
“Selain adanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Darurat tetap dilaksanakan sebagai langkah untuk membendung dan melandaikan kes positif Covid-19 harian.
“Namun, setelah empat bulan berlalu, apakah pandangan anda terhadap pentadbiran dan prestasi Kerajaan Perikatan Nasional dengan menggunakan Darurat sebagai kaedah dalam menangani pandemik Covid-19 kali ini,” ujarnya.
Cadang politik baharu berpaksi agenda Melayu, Islam
Sementara itu, berbeza pula pendekatan daripada Ketua Pemuda UMNO Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Aktar Hussin yang memulakan langkah pertama mencadangkan satu gabungan politik baharu yang berpaksikan kepada agenda Melayu dan Islam.

Beliau mengemukakan pelan jajaran politik baharu yang melibatkan semua parti Melayu- Islam yakni UMNO, Pas, Bersatu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Amanah untuk sama-sama berunding membentuk pakatan gergasi parti yang sama-sama berjuang dalam pertembungan PRU15.
"Di peringkat saya sebagai Pemuda UMNO, kita tiada pilihan selain wala (setia) kepada pimpinan. Kita kena hormat institusi. Jika pimpinan kata kena korban, maka kena ikut. Apa yang penting ikut kepentingan parti," katanya.
Beberapa pemimpin Pemuda UMNO juga bersetuju jika pemilihan UMNO ditangguhkan sementara susulan penularan wabak Covid-19 di negara ini semakin tidak terkawal.
UMNO dijangka mengadakan pemilihan pada hujung tahun ini dan bukannya Jun seperti khabar angin yang digembar-gembur.
Pemuda Bersatu serah kepada UMNO
Dalam pada itu, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yakin partinya sudah berada dalam keadaan bersedia jika UMNO tetap mahukan PRU15 dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan ini menegaskan, Bersatu enggan membebankan rakyat dengan kemelut politik namun segala-galanya terpulang kepada UMNO untuk membuat keputusan sama ada mahu terus mengekalkan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Dia (UMNO) nak buat macam mana dia putuskan, kalau dia berani berdepan dengan rakyat untuk panggil pilihan raya awal silakan, kita tak boleh halang.
“Kita bersedia kalau ada sebarang kemungkinan kena pilihan raya kita hadap, tetapi kita tidak mahu sebab Covid-19, itu sahaja,” katanya kepada media tempatan.
Pada masa sama, Wan Ahmad Fayhsal mengakui Bersatu berasa kesal dengan tindakan UMNO yang sering cuba untuk menggugat kestabilan kerajaan PN kebelakangan ini.
Bercakap kepada Sinar Harian secara eksklusif, beliau melahirkan kekecewaan dan sedih kerana mahukan sebuah kerajaan yang stabil ditegakkan selepas PRU15.
“Tidak boleh ada pertembungan tiga penjuru. Formulanya itu sahaja.
“Kenapa kita hendak buat pilihan raya? Sebab kita hendak selesaikan masalah tidak cukup jumlah majoriti yang stabil. Bila tidak ada jumlah yang stabil, kerajaan sampai bila-bila akan diganggu-gugat oleh pembangkang seperti yang dilakukan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jadi bila UMNO buat begitu (tidak bersama PN pada PRU15), kita rasa kecewa sebab pasti akan berlaku pertembungan tiga penjuru. UMNO sudah buat keputusan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 iaitu medan tertinggi untuk membuat dasar parti. Kita kesal tapi kita kena hormat hak demokrasi mana-mana parti politik,” jelasnya.
Menyentuh soal senjata PN untuk menghadapi PRU15, kata Wan Ahmad Fayhsal, PN adalah kerajaan rakyat.
“Kita akan jelaskan kepada rakyat, kepada anak muda yang kerajaan ini adalah kerajaan rakyat. Kerajaan ini tidak mahu mencemar keadaan semasa dengan politik-politik sempit.
“Amanahnya menjaga keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat dan semuanya kita dapat lihat tertumpu kepada sosok pimpinan utama kami iaitu Tan Sri Muhyiddin, itu tidak dapat dinafikan sama sekali.
“Dalam semua undian yang dibuat oleh badan kajian massa, Tan Sri Muhyiddin adalah pilihan pertama untuk menjadi perdana menteri selepas PRU15. Dari segi itu kami di sayap pemuda menyokong penuh kepimpinan Tan Sri Muhyiddin dan kami mencontohi beliau kurangkan politik sempit, lebihkan khidmat kepada rakyat, itulah Armada,” tegasnya.
Undi 18 tahun ke atas perlu dilaksana
Kemelut Pemuda Pakatan Harapan (PH) di peringkat Pusat berhubung jawatan Ketua Pemuda PH yang belum ada pengganti akhirnya diisi dan dilantik pada April lalu.

Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin dilantik sebagai Ketua PemudaPH yang baharu.
Jawatan ketua pemuda PH kosong selepas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meninggalkan gabungan itu tahun lalu.
Shazni juga lantang bersuara dalam menuntut pengundian 18 tahun ke atas menegaskan, ia perlu dilaksanakan segera bagi memberi peluang kepada anak muda mengundi pilihan mereka pada PRU15.
Selain itu, Setiausaha Pemuda PH Sabah, Razeef Rakimin menggesa pimpinan setiap sayap pemuda mengadakan perbincangan segera serta menyusun struktur jawatankuasa Pemuda PH yang baharu agar sayap pemuda dapat mengatur gerak kerja menjelang PRU15.
"Di peringkat AMK, kami telah bersedia di kesemua 222 Parlimen kerana Keadilan mempunyai 222 cabang seluruh Malaysia,” katanya.
Begitu juga kesepakatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir Akmal Nasir.
“Fokus saya pada ketika ini adalah untuk memperkukuh dan memperkuat AMK dalam menghadapi PRU 15.
“Saya percaya AMK yang kuat akan secara langsung dapat membantu PH khususnya jentera Pemuda PH.
“Saya juga menyeru untuk seluruh jentera Pemuda PH daripada semua sayap komponen untuk sama-sama kita memperkukuh kesatuan untuk memastikan Pemuda Harapan muncul sebagai koalisi gerakan pemuda yang kuat dan jitu,” tegasnya.
Genjatan senjata politik demi Covid-19

Sementara itu, Timbalan Ketua DAPSY Kebangsaan, Chiong Yoke Kong menyarankan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan tangan kepada Perikatan Nasional (PN) supaya genjatan senjata politik dapat dicapai demi kestabilan politik.
“Pada saat yang genting kini, wabak Covid-19 adalah musuh utama negara, tiada lain,” ujarnya.
Katanya, kemelut politik berlarutan bukan sahaja akan menjadikan Covid-19 lebih buruk tetap juga akan membantutkan usaha pemulihan ekonomi akibat daripada pandemik itu.
Mendengar saranan Yoke Kong ada logiknya, sudah tiba masanya pembangkang dan PN bergabung tenaga, dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19 bukan sebaliknya.
Jika mahukan kuasa tunggu sahaja PRU15, mahu bergaduh, bercakaran terserah kepada parti masing-masing tetapi saat ini semua ahli politik tidak kira pembangkang dan parti yang memerintah perlu duduk semeja, berbincang apa yang perlu dilakukan demi menyelamatkan nyawa rakyat dari terus terkorban akibat wabak Covid-19.
Tiada kesudahan jika ahli politik terus bergaduh kerana akhirnya rakyat dihimpit masalah.